Bully


Baru-baru ini aku ada diminta untuk mewakili seorang pentadbir estet si mati berkenaan dengan keengganan satu firma guaman untuk melepaskan suratan hakmilik asal satu hartanah milik si mati. Cerita pendeknya, sekitar tahun 2002 Si Penyewa yang merupakan kenalan si Mati telah dihalau keluar dari rumahnya. Kebetulan pada waktu itu Si Mati baru sahaja berjaya membeli rumah mampu milik (hartanah dalam cerita ini) tapi sedang berhempas pulas mencari duit untuk membayar deposit rumah mampu milik tersebut. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, si Penyewa yang terdengar mengenai peluang ini pun mencadangkan pada Si Mati; deposit rumah biar Si Penyewa bayar dengan syarat si Penyewa boleh mendiami di rumah tersebut buat sementara waktu. Duit deposit nanti Si Mati bayar kemudian. Rumah tersebut sewaktu dibeli si Mati masih belum lagi dikeluarkan suratan hakmiliknya.

Bila Si Mati berjaya mendapat pinjaman bank, Si penyewa cepat-cepat menawarkan diri untuk membayar ansuran bulanan bank. Si Mati pun benarkan kerana menganggap bayaran tersebut berbentuk sewaan yang membenarkan Si Penyewaa terus tinggal di rumah tersebut. Si Mati dan si Penyewa ni pun kenalan jadi tiada sebarang perjanjian sewaan dibuat diantara mereka. Agak lama juga Si Penyewa tinggal di rumah tersebut. Si Mati meninggal dunia sekitar tahun 2022. Namun sebelum meninggal dunia, Si Mati ada berpesan pada pentadbir estet, kalau apa-apa terjadi pada Si Mati, pentadbir hendaklah memutuskan nasib rumah tersebut. Hendak dijual pada orang lain atau hendak dibiarkan terus disewa Si Penyewa. Masa akan menunjukkan tindakan Si Mati menolong si Penyewa ini umpama melepaskan anjing tersepit.

Bila pentadbir selesai dengan urusan permohonan surat kuasa mentadbir, EPF dan SOCSO si Mati, sampai pula giliran hartanah tersebut untuk diuruskan. Bila tanya dengan Bank, diberitahu baki pinjaman yang belum selesai dan disuruh tanya kepada pemaju berkenaan pindah milik. Pemaju pula suruh ditanyakan kepada peguam Pindah Milik yang dilantik pemaju sama ada dah dipindahmilik ke belum hartanah tersebut kepada nama Si Mati. Peguam pindahmilik lantikan pemaju pula mengelak-elak dari berjumpa. Macam-macam alasan diberikan. Peguam tak ada di pejabat. Peguam cuti tahunan lah. Jadi pentadbir pun terus ke Pejabat Tanah untuk mendapatkan penjelasan. Di sana, carian tanah dibuat mendapati geran individu rumah tersebut telah dikeluarkan sejak tahun 2007 lagi. Jadi berbekalkan dengan carian tanah itu tadi pentadbir terus ke pejabat peguam pindahmilik lantikan pemaju (kita panggil mereka sebagai Peguam Jahanam). Sampai ke sana, peguam masih tak ada di pejabat. Tak pasti alasan apa yang diberikan. Penerangan diberikan oleh kerani yang menguruskan fail tersebut. Katanya walaupun geran asal memang berada dalam milikan firma, firma memang tidak akan dan tidak mahu memindahmilik hartanah kepada Si Mati atau warisnya kerana Si Mati tidak pernah membuat bayaran ansuran bank, sebaliknya semua bayaran ansuran dibuat oleh Si Penyewa dan kononnya Si Mati ada berjanji akan menjual hartanah tersebut kepada Si Penyewa, buktinya ada satu Borang 14A yang telah ditandatangani Si Mati (Kita panggil borang tersebut Borang Pindahmilik Pelik). Kemuncaknya adalah bila si kerani beritahu pada pentadbir, kesian pada Si Mati, kalau tak pindahmilik pada Si Penyewa takut roh Si Mati tak tenang sebab dah janji.

Pentadbir bijak merakam senyap-senyap penerangan si kerani tadi. Patah balik ke Pejabat Tanah dengan hati kegeraman dan sedih berbaur-baur untuk tanya apa yang boleh dibuat, Pejabat Tanah kata lantik peguam. Pegi ke Biro Bantuan Guaman, diberitahu luar bidang kuasa. Entah macam mana pada masa yang sama pentadbir ada pembeli yang berminat dengan hartanah tersebut. Peguam pembeli yang banyak membantu. Tulis dua surat minta diberikan suratan hakmilik asal rumah tersebut, hanya satu yang dibalas. Satu balasan yang diterima bukan dari Peguam Jahanam tapi daripada peguam yang kononnya mewakili Si Penyewa. Surat balasan mengatakan bahawa Penyewa telah membeli rumah tersebut daripada Si Mati dan Si Penyewa sedang mengumpulkan segala bukti pembayaran yang telah dibuat kepada bank bagi pinjaman perumahan dan juga meminta agar pentadbir mengeluarkan rumah tersebut daripada senarai aset dan liabiliti surat kuasa mentadbir. Bila tak berkesan dengan surat meminta geran strata asal cuba dengan panggilan telefon pula. Bila tak lut juga, peguam pembeli mencadangkan cari peguam litigasi. Di sini aku mula terlibat.

Jumpa dengan pentadbir, semua diceritakan pada aku termasuklah kaveat yang dimasukkan si Penyewa dan keadaan ekonomi keluarga yang memang tak punya pendapatan selepas satu kemalangan di tempat kerja oleh pentadbir yang berniaga membuatkan beliau 3 bulan tidak dapat berniaga kerana tangan kanan ada luka dalaman membawa kepada nanah. Kereta pula ditarik oleh bank kerana tunggakan bayaran (ialah, tak ada pendapatan dari perniagaan), anak kemalangan jalan raya, bapa pula jatuh sakit tiba-tiba. Bertimpa-timpa ujian. Mata pentadbir berkaca-kaca bila tanya aku: jadi Encik ambil kes saya ke? Tentang bayaran nanti saya usahakan.

Aku yang mulanya hati keras nak mintak sekurang-kurangnya separuh dari fee guaman yang aku nak letak terus terdiam. Agaknya nampak jelas aku teragak-agak, dia bawa keluar surat dari JKM yang mengatakan dia dapat bantuan RM 300 setiap bulan. Semalam Encik ada minta saya bawa kan?

Ligat otak aku berpikir. Dengan mendengar sahaja cerita sambil selak-selak dokumen yang disediakan aku nampak Si Mati ni dibuli Si Penyewa. Peguam pindahmilik ni pulak membuli pentadbir. Panas hati dibuatnya. Aku pandang pentadbir dan aku nampak Mak. Nampak Mak seorangan bersusah payah membesarkan kami adik -beradik sambil membebel pada Takdir sampai takdir pun mengalah. Lepas tu Mak kena buli dengan peguam. Actually, takkan berlaku pada Mak. Mak will take no shit from anyone. Least of all, from bullies.

Kesudahannya aku mengangguk setuju. Senyum kelat. Rasa malu sendiri kerana terlalu sangsi dengan kesusahan orang lain. Bukan tak biasa didendang cerita sedih dari mereka yang mengelak dari nak bayar fi guaman. Terlalu biasa sampai dah jadi pesimistik. Dalam kepala masih tak pasti aku buat benda betul ke tidak. Otak rasional kata ini bukan tindakan yang menguntungkan. Janji untuk membayar bukanlah bayaran dan aku bukan dalam kedudukan selesa pada waktu ini untuk buat kerja pro bono. Hati aku pulak menjerit-jeri kalau bukan sekarang, bila lagi?. Sebelum perjumpaan tamat, aku maklumkan pada pentadbir aku takkan bekerja seorang diri, aku akan ajak kawan atau kawan-kawan untuk sama-sama mengerjakan kes ini. Pasal fee guaman, bincang kemudian. Pentadbir cuma kata, tak kisah asal buat sampai jadi. Maka lepas tamat perjumpaan terus aku call kawan aku.

Aku berterus-terang dengan kawan aku itu yang ini berkemungkinan tak dapat bayaran atau kalau dapat pun mungkin sekadar bayaran minima. Dia bilang takpa, tengok dokumen dulu. Jadi petang esoknya kami sama-sama dengan tenang menelaah salinan dokumen yang diberikan pentadbir. Dalam kepala aku seorang sami Zen sedang bertenggek atas batu besar sambil menyapu corak-corak menarik di atas batuan kerikil di taman batu Zen. 

Rumah tersebut adalah rumah pangsapuri kos rendah. Maka Jadual H Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (‘’HDA’’) adalah terpakai. Jadual H, HDA adalah terma-terma Perjanjian Jual-Beli bagi unit perumahan bertingkat atau akan dipecah kepada milikan strata. Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ang Ming Lee dan PJD Regency telah memutuskan bahawa HDA dan regulasi yang dibuat dibawahnya (termasuklah Regulasi Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989 (’HDR 89’)) adalah satu social legislation yang bertujuan untuk melindungi pembeli rumah (Rujuk: Nota). Maka jika kontrak jual beli rumah tersebut jatuh bawah HDA maka Jadual-jadual di bawah HDR ‘89 adalah wajib terpakai sebagai statutory contract tanpa sebarang tokok-tambah dibenarkan.

Dalam Jadual H HDR 89 pada sebelum pindaan tahun 2015, Klausa 11 memperuntukkan seperti berikut:


‘’(1) Penjual hendaklah, dengan kos dan perbelanjaannya sendiri dan dengan seberapa cepat yang boleh, memohon untuk memecahbahagikan Bangunan tersebut bagi memperoleh pengeluaran dokumen hakmilik strata yang berasingan bagi Petak tersebut di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.

(2) Apabila hakmilik strata dikeluarkan bagi Petak tersebut dan tertakluk kepada pembayaran harga beli oleh Pembeli kepada Penjual mengikut subfasal 4(1) dan pematuhan segala terma dan syarat yang diperuntukkan dalam Perjanjian ini, maka Penjual hendaklah, dalam tempoh dua puluh satu (21) hari, menyempurnakan memorandum pindah milik yang sah dan boleh daftar bagi Petak tersebut kepada Pembeli, warisnya atau penerima namaan atau penerima serah hak yang sah, mengikut mana-mana yang berkenaan.’'

Macam aku katakan tadi, Hakmilik strata dikeluarkan pada tahun 2007. Bagi aku munasabah. Perjanjian Jual Beli ditandatangani 2002, projek makan masa 3 tahun, baki 2 tahun untuk pecah geran dan pengeluaran hakmilik strata. Persoalannya kenapa pindahmilik nama kepada Si Mati hanya dibuat pada tahun 2022, lebih kurang lima belas (15) tahun selepas hakmilik strata dikeluarkan. Apa yang peguam pemaju buat? 

Kepala penyapu tertanggal secara tiba-tiba. Sami menggaru kepala dan pergi cari penyapu baru.

Ok-lah, Husnuzon. Mungkin pemaju yang lambat bagi arahan pada peguam pindahmilik. Aku tengok lagi dokumen.

Sampai ke Borang Pindahmilik Pelik. Aku tengok bertarikh tahun 2021, ada nama dan tandatangan Si Mati. Penerima pindah milik, nama anak perempuan Si Penyewa. Agaknya ini urusan jual beli yang si Penyewa katakan itu. Bila tengok alasan pindahmilik; kasih sayang.


Kekarutan jenis apakah ini?


Sami tergelincir lalu bergolek jatuh beliau dari batu besar tempat tenggekannya tadi. Bingkas bangun dan membetulkan corak dibatuan kerikil yang rosak. Makin dibetul makin lari, tak sekata dengan corak yang lain. Terkumat-kamit mulut mengulang mantra kesabaran. 

Bila ditanya pada peguam-peguam hartanah semua hairan, alasan kasih sayang untuk pindahmilik ini hanya untuk suami isteri, ibu bapa kepada anak. Semakan kepada perintah Duti setem dari tahun 2001 hingga tahun 2021 pun sama. Whatapp pantas kepada pentadbir mengesahkan Si Mati kenalan sahaja kepada Si Penyewa, tak adalah begitu rapat sampai nak ambil anak perempuannya jadi anak angkat.

Padanlah pentadbir ada cerita bila diberitahu dan ditunjuk Borang Pindahmilik Pelik oleh kakitangan peguam pindahmilik dia naik hiba. Ada nama perempuan lain tak dikenali, lepas tu alasan pindahmilik; kasih sayang. Isteri mana tak kecik hati.

Pastu aku tengok balik Borang Pindahmilik Pelik dan nampak nama firma guaman yang menyaksikan tandatangan memorandum tersebut. Nama firma guaman yang sama dengan peguam pindahmilik. Peguam jahanam. Terus buntang mata aku. Padanlah dok mengelak-elak dari jumpa pentadbir, tak nak bagi Suratcara Hakmilik Strata Asal. Fi pindahmilik ke Si Mati kau dapat lepas itu dari Si Penyewa pun kau nak jugak. Kiri kanan kau sapu. Yang jadi mangsanya pentadbir dan waris Si Mati.

Dalam minda aku penyapu sudah patah dua dan sami sedang mengulang koan-koan kesabaran dengan mata terkatup rapat.

‘’Tengok ni’’ kata kawan aku sambil tunjuk satu dokumen. Satu perjanjian sewaan, lokasi sewaan adalah alamat rumah dalam kes ni. Bila tengok nama pemilik rumah, ianya nama yang sama di dalam Memorandum Pindahmilik Pelik iaitu nama anak perempuan Si Penyewa. Kata beli rumah tu tapi alasan pindahmilik kasih sayang lepas tu peguam pemaju juga adalah peguam Si Penyewa untuk pindahmilik rumah kepada anak si Penyewa. Pastu belum tentu arah lagi dah mengaku jadi tuan rumah, sewakan rumah pada pihak ketiga. Aku bersandar ke kerusi, capai pouch tembakau dan terus gulung sebatang rokok.

Penyapu sedang terbakar bersama-sama daun kering yang dikumpul dan pakaian si sami yang dikoyak-koyak. Si sami yang hanya bercawat pula sedang menyepak-nyepak corak batuan kerikil sambil terpekik-pekik kemarahan.

‘’Celaka punya lawyer’’ kata kawan aku tadi. ‘’Okeh, onz buat file ni’’ dia sambung lagi sebelum sedut asap vape dalam-dalam.

Malam itu juga aku deraf Notis Tuntutan kepada Peguam Jahanam. Selepas itu, aku isi borang aduan pada Badan Disiplin. Kami rancang untuk terjah pejabat Peguam Jahanam, bagi masa sejam untuk dapatkan suratan hakmilik strata asal keesokan petangnya juga sebagai langkah permulaan. Kalau tak dapat, minggu depannya segala saman dan aduan akan menimpa Peguam Jahanam. Pentadbir juga diminta untuk berada di kawasan berdekatan esok untuk bersedia terima suratan hakmilik strata, kalau peguam jahanam tiba-tiba mengalah. 

Esok harinya, aku terlambat ke tempat pertemuan dengan pentadbir iaitu sebuah kedai makan berdekatan dengan pejabat peguam jahanam. Kawan aku dah sampai dulu. Dia dah perkenal diri bagai. Borak dua-tiga minit kemudian terus ke pejabat Peguam Jahanam. Di ruangan menunggu ada pasangan Melayu sedang duduk. Sesampainya di sana ada kerani dengan muka bosan tanya ada urusan apa.

Kawan aku dengan suara keras berkata, saya nak serve Notis Tuntutan.

Pada siapa ya? tanya kerani masih lagi bosan.

Pada firma ni, jawab kawan aku dengan nada kuat.

Terkedu kerani tadi, dari ekor mata aku nampak pasangan tadi terus menoleh pada kawan aku dengan muka terkejut.

Peguam yang in charge untuk file ini Puan xxxxx kan? Saya nak jumpa dia kata kawan aku.

Dia tengah solat Encik. Encik tunggu sekejap boleh? jawab kerani tadi sehabis lembut.

Jadi kami pun tunggu. Sambil tunggu nampak kerani yang terima Notis Tuntutan itu masuk ke bilik peguam dan duduk lama disitu. Bila dipanggil masuk ke bilik peguam sambil duduk kawan aku terus beritahu apa tujuan datang. Seperti dipersetujui, aku biar kawan aku yang bercakap. Aku tak percaya diri aku untuk bercakap bila banyak benda yang nak dihambur. 

Paling penting sekali, kawan aku beritahu, Puan ada masa sejam dari sekarang untuk serahkan Suratcara Hakmilik Strata kepada kami seperti dinyatakan dalam Notis Tuntutan kami ni.

Kalau tak? tanya Peguam tersebut buat-buat bijak cuba cari masa untuk berfikir.

Kalau tak, I’ll see you in court, kata kawan aku tenang. Ayat klise tapi mengancam.

Peguam telan air liur, buat-buat minta kerani carikan fail. Fail tak jumpa kononnya.

Kami dah angkat punggung nak beransur tiba tiba fail sampai. Duduk balik. Peguam cuba nak menerang, kata ada dapat surat dari peguam si Penyewa kata beliau akan mulakan tindakan Mahkamah untuk menuntut hakmilik rumah tersebut kerana beliau yang bayar ansuran bulanan pada bank jadi mereka tak berani nak menyerahkan geran asal pada pentadbir walaupun tahu pentadbir berhak pada geran asal.

Badan aku dah ke depan nak menjawab sebelum teringat janji aku untuk kunci mulut walaupun banyak boleh ditanya dan dimakikan, aku bersandar balik ke kerusi. Kawan aku tolak balik surat itu tanpa tengok, sebab kami dah tengok pun surat tu semalamnya dari dokumen yang diberikan pentadbir. Bila nampak alasan diberi tidak kami terima, peguam beri pula alasan perlu call terlebih dahulu peguam si Penyewa untuk meminta kepastian. Aku tahan keinginan untuk hambur kata-kata kesat atas alasan tak masuk akal yang diberikan.  Kawan aku cuma cakap, Puan buatlah apa Puan nak buat. Puan ada masa sejam.

Kami pun kembali ke kedai makan sambung berborak dengan pentadbir. Kurang dari sejam dapat panggilan. Geran sedia diambil. Cuma peguam jahanam minta salinan surat kuasa mentadbir. Kami buat arrangement untuk serahkan kemudian.

Pegi kembali ke pejabat peguam jahanam. Sign surat pelepasan geran dan ambil geran. Sambil-sambil kawan aku sign surat, Peguam cuba-cuba buat baik dengan kawan aku. Borak kosong. Very eager to please. Siap tawarkan ada satu kes jenayah untuk kawan aku kerjakan. Entahkan ye ke entahkan tidak. Dalam hati aku dok pikir, nampak macam biasa sangat menawar gula-gula untuk melancar kerja atau menghadang bala. Takut dengan kawan aku pun boleh jadi juga.

Peguam jahanam juga ada ulang kembali yang dia tak ada hak untuk pegang geran lama-lama sebab dia kena pindahmilik pada Si Mati. Nak sahaja aku maki; dah tu kenapa sampai lepas 15 tahun geran strata keluar baru kau nak pindahmilik pada Si Mati?

Aku tak percaya pemaju yang lambat setelkan borang pindahmilik. Fakta-fakta yang ada lebih berat menunjukkan kepada peguam jahanam memegang geran strata asal rumah tersebut dengan harapan pentadbir akan putus asa dan membenarkan pindahmilik kepada si Penyewa disempurnakan.

Kembali ke kedai makan, serah geran asal pada pentadbir. Senyum lebar pentadbir, ucap terima kasih berulang-kali. Sebelum mata berkaca (mata pentadbir, bukan mata aku), aku dengan kawan cepat-cepat beransur mencari tempat lagi selesa untuk berbual, berasap dan menyusun langkah seterusnya. Panjang lagi perjalanan kes. Banyak kausa tindakan dan banyak pihak boleh diheret sama.

Bila kami dah tenang-tenang di kedai satu lagi sambil hirup milo ais aku beritahu dia: Brader, lu memang power. Tenang all the way. Kalau aku pegi sorang tak rasa boleh settle hari ini juga. Dia senyum dan cakap rasa senang hati dapat tolong orang yang betul-betul kena tindas. Aku mengangguk setuju sambil sedut asap. Dalam hati berdoa harapnya aku tak tergelincir dari landasan bila digoda dengan wang. 







Nota:


Ang Ming Lee & Ors v. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan & Anor and other appeals [2020] 1 CLJ 162; [2020] 1 MLJ 281


PJD Regency Sdn Bhd v. Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah & Anor and other appeals [2021] 2 CLJ 441; [2021] 2 MLJ 60

Comments

Popular Posts