Baru-baru ini aku ada diminta untuk mewakili seorang pentadbir estet
si mati berkenaan dengan keengganan satu firma guaman untuk
melepaskan suratan hakmilik asal satu hartanah milik si mati. Cerita
pendeknya, sekitar tahun 2002 Si Penyewa yang merupakan kenalan si
Mati telah dihalau keluar dari rumahnya. Kebetulan pada waktu itu Si
Mati baru sahaja berjaya membeli rumah mampu milik (hartanah dalam
cerita ini) tapi sedang berhempas pulas mencari duit untuk membayar
deposit rumah mampu milik tersebut. Bagai orang mengantuk disorongkan
bantal, si Penyewa yang terdengar mengenai peluang ini pun
mencadangkan pada Si Mati; deposit rumah biar Si Penyewa bayar dengan
syarat si Penyewa boleh mendiami di rumah tersebut buat sementara
waktu. Duit deposit nanti Si Mati bayar kemudian. Rumah tersebut
sewaktu dibeli si Mati masih belum lagi dikeluarkan suratan
hakmiliknya.
Bila Si Mati berjaya mendapat pinjaman bank, Si penyewa cepat-cepat
menawarkan diri untuk membayar ansuran bulanan bank. Si Mati pun
benarkan kerana menganggap bayaran tersebut berbentuk sewaan yang
membenarkan Si Penyewaa terus tinggal di rumah tersebut. Si Mati dan
si Penyewa ni pun kenalan jadi tiada sebarang perjanjian sewaan
dibuat diantara mereka. Agak lama juga Si Penyewa tinggal di rumah
tersebut. Si Mati meninggal dunia sekitar tahun 2022. Namun sebelum
meninggal dunia, Si Mati ada berpesan pada pentadbir estet, kalau
apa-apa terjadi pada Si Mati, pentadbir hendaklah memutuskan nasib
rumah tersebut. Hendak dijual pada orang lain atau hendak dibiarkan
terus disewa Si Penyewa. Masa akan menunjukkan tindakan Si Mati
menolong si Penyewa ini umpama melepaskan anjing tersepit.
Bila pentadbir selesai dengan urusan permohonan surat kuasa
mentadbir, EPF dan SOCSO si Mati, sampai pula giliran hartanah
tersebut untuk diuruskan. Bila tanya dengan Bank, diberitahu baki
pinjaman yang belum selesai dan disuruh tanya kepada pemaju berkenaan
pindah milik. Pemaju pula suruh ditanyakan kepada peguam Pindah
Milik yang dilantik pemaju sama ada dah dipindahmilik ke belum
hartanah tersebut kepada nama Si Mati. Peguam pindahmilik lantikan
pemaju pula mengelak-elak dari berjumpa. Macam-macam alasan
diberikan. Peguam tak ada di pejabat. Peguam cuti tahunan lah. Jadi
pentadbir pun terus ke Pejabat Tanah untuk mendapatkan penjelasan. Di
sana, carian tanah dibuat mendapati geran individu rumah tersebut
telah dikeluarkan sejak tahun 2007 lagi. Jadi berbekalkan dengan
carian tanah itu tadi pentadbir terus ke pejabat peguam pindahmilik
lantikan pemaju (kita panggil mereka sebagai Peguam Jahanam). Sampai
ke sana, peguam masih tak ada di pejabat. Tak pasti alasan apa yang
diberikan. Penerangan diberikan oleh kerani yang menguruskan fail
tersebut. Katanya walaupun geran asal memang berada dalam milikan
firma, firma memang tidak akan dan tidak mahu memindahmilik hartanah
kepada Si Mati atau warisnya kerana Si Mati tidak pernah membuat
bayaran ansuran bank, sebaliknya semua bayaran ansuran dibuat oleh Si
Penyewa dan kononnya Si Mati ada berjanji akan menjual hartanah
tersebut kepada Si Penyewa, buktinya ada satu Borang 14A yang telah
ditandatangani Si Mati (Kita panggil borang tersebut Borang
Pindahmilik Pelik). Kemuncaknya adalah bila si kerani beritahu pada
pentadbir, kesian pada Si Mati, kalau tak pindahmilik pada Si Penyewa
takut roh Si Mati tak tenang sebab dah janji.
Pentadbir bijak merakam senyap-senyap penerangan si kerani tadi.
Patah balik ke Pejabat Tanah dengan hati kegeraman dan sedih
berbaur-baur untuk tanya apa yang boleh dibuat, Pejabat Tanah kata
lantik peguam. Pegi ke Biro Bantuan Guaman, diberitahu luar bidang
kuasa. Entah macam mana pada masa yang sama pentadbir ada pembeli
yang berminat dengan hartanah tersebut. Peguam pembeli yang banyak
membantu. Tulis dua surat minta diberikan suratan hakmilik asal rumah
tersebut, hanya satu yang dibalas. Satu balasan yang diterima bukan
dari Peguam Jahanam tapi daripada peguam yang kononnya mewakili Si
Penyewa. Surat balasan mengatakan bahawa Penyewa telah membeli rumah
tersebut daripada Si Mati dan Si Penyewa sedang mengumpulkan segala
bukti pembayaran yang telah dibuat kepada bank bagi pinjaman
perumahan dan juga meminta agar pentadbir mengeluarkan rumah tersebut
daripada senarai aset dan liabiliti surat kuasa mentadbir. Bila tak
berkesan dengan surat meminta geran strata asal cuba dengan panggilan telefon pula. Bila tak
lut juga, peguam pembeli mencadangkan cari peguam litigasi. Di sini
aku mula terlibat.
Jumpa dengan pentadbir, semua diceritakan pada aku termasuklah kaveat
yang dimasukkan si Penyewa dan keadaan ekonomi keluarga yang memang
tak punya pendapatan selepas satu kemalangan di tempat kerja oleh
pentadbir yang berniaga membuatkan beliau 3 bulan tidak dapat
berniaga kerana tangan kanan ada luka dalaman membawa kepada nanah.
Kereta pula ditarik oleh bank kerana tunggakan bayaran (ialah, tak
ada pendapatan dari perniagaan), anak kemalangan jalan raya, bapa
pula jatuh sakit tiba-tiba. Bertimpa-timpa ujian. Mata pentadbir
berkaca-kaca bila tanya aku: jadi Encik ambil kes saya ke? Tentang
bayaran nanti saya usahakan.
Aku yang mulanya hati keras nak mintak sekurang-kurangnya separuh
dari fee guaman yang aku nak letak terus terdiam. Agaknya nampak
jelas aku teragak-agak, dia bawa keluar surat dari JKM yang
mengatakan dia dapat bantuan RM 300 setiap bulan. Semalam Encik ada
minta saya bawa kan?
Ligat otak aku berpikir. Dengan mendengar sahaja cerita sambil
selak-selak dokumen yang disediakan aku nampak Si Mati ni dibuli Si
Penyewa. Peguam pindahmilik ni pulak membuli pentadbir. Panas hati
dibuatnya. Aku pandang pentadbir dan aku nampak Mak. Nampak Mak seorangan bersusah
payah membesarkan kami adik -beradik sambil membebel pada Takdir
sampai takdir pun mengalah. Lepas tu Mak kena buli dengan peguam. Actually, takkan berlaku pada Mak. Mak will take no shit from anyone. Least of all, from bullies.
Kesudahannya aku mengangguk setuju. Senyum kelat. Rasa malu sendiri kerana terlalu sangsi
dengan kesusahan orang lain. Bukan tak biasa didendang cerita sedih
dari mereka yang mengelak dari nak bayar fi guaman. Terlalu biasa
sampai dah jadi pesimistik. Dalam kepala masih tak pasti aku buat
benda betul ke tidak. Otak rasional kata ini bukan tindakan yang
menguntungkan. Janji untuk membayar bukanlah bayaran dan aku bukan
dalam kedudukan selesa pada waktu ini untuk buat kerja pro bono. Hati
aku pulak menjerit-jeri kalau bukan sekarang, bila lagi?. Sebelum
perjumpaan tamat, aku maklumkan pada pentadbir aku takkan bekerja
seorang diri, aku akan ajak kawan atau kawan-kawan untuk sama-sama
mengerjakan kes ini. Pasal fee guaman, bincang kemudian. Pentadbir
cuma kata, tak kisah asal buat sampai jadi. Maka lepas tamat
perjumpaan terus aku call kawan aku.
Aku berterus-terang dengan kawan aku itu yang ini berkemungkinan tak
dapat bayaran atau kalau dapat pun mungkin sekadar bayaran minima.
Dia bilang takpa, tengok dokumen dulu. Jadi petang esoknya kami
sama-sama dengan tenang menelaah salinan dokumen yang diberikan
pentadbir. Dalam kepala aku seorang sami Zen sedang bertenggek atas
batu besar sambil menyapu corak-corak menarik di atas batuan kerikil
di taman batu Zen.
Rumah tersebut adalah rumah pangsapuri kos rendah. Maka Jadual H Akta
Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (‘’HDA’’)
adalah terpakai. Jadual H, HDA adalah terma-terma Perjanjian
Jual-Beli bagi unit perumahan bertingkat atau akan dipecah kepada
milikan strata. Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ang Ming
Lee dan PJD Regency telah memutuskan bahawa HDA dan
regulasi yang dibuat dibawahnya (termasuklah Regulasi Pemajuan
Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989 (’HDR 89’)) adalah satu
social legislation yang bertujuan untuk melindungi pembeli
rumah (Rujuk: Nota). Maka jika kontrak jual beli rumah tersebut jatuh
bawah HDA maka Jadual-jadual di bawah HDR ‘89 adalah wajib terpakai
sebagai statutory contract
tanpa sebarang tokok-tambah dibenarkan.
Dalam Jadual H HDR 89 pada sebelum pindaan tahun 2015, Klausa 11
memperuntukkan seperti berikut:
‘’(1) Penjual hendaklah, dengan kos dan perbelanjaannya
sendiri dan dengan seberapa cepat yang boleh, memohon untuk
memecahbahagikan Bangunan tersebut bagi memperoleh pengeluaran
dokumen hakmilik strata yang berasingan bagi Petak
tersebut di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.
(2) Apabila hakmilik strata dikeluarkan bagi
Petak tersebut dan tertakluk kepada pembayaran harga beli oleh
Pembeli kepada Penjual mengikut subfasal 4(1) dan pematuhan segala
terma dan syarat yang diperuntukkan dalam Perjanjian ini, maka
Penjual hendaklah, dalam tempoh dua puluh satu (21) hari,
menyempurnakan memorandum pindah milik yang sah dan boleh daftar bagi
Petak tersebut kepada Pembeli, warisnya atau penerima namaan atau
penerima serah hak yang sah, mengikut mana-mana yang berkenaan.’'
Macam aku katakan tadi, Hakmilik strata dikeluarkan pada tahun 2007.
Bagi aku munasabah. Perjanjian Jual Beli ditandatangani 2002, projek
makan masa 3 tahun, baki 2 tahun untuk pecah geran dan pengeluaran
hakmilik strata. Persoalannya kenapa pindahmilik nama kepada Si Mati
hanya dibuat pada tahun 2022, lebih kurang lima belas (15) tahun
selepas hakmilik strata dikeluarkan. Apa yang peguam pemaju buat?
Kepala penyapu tertanggal secara tiba-tiba. Sami menggaru kepala dan pergi cari penyapu baru.
Ok-lah, Husnuzon. Mungkin pemaju yang lambat bagi arahan pada peguam
pindahmilik. Aku tengok lagi dokumen.
Sampai ke Borang Pindahmilik Pelik. Aku tengok bertarikh tahun 2021,
ada nama dan tandatangan Si Mati. Penerima pindah milik, nama anak
perempuan Si Penyewa. Agaknya ini urusan jual beli yang si Penyewa
katakan itu. Bila tengok alasan pindahmilik; kasih sayang.
Kekarutan jenis apakah ini?
Sami tergelincir lalu bergolek jatuh beliau dari batu besar tempat
tenggekannya tadi. Bingkas bangun dan membetulkan corak dibatuan kerikil yang rosak. Makin
dibetul makin lari, tak sekata dengan corak yang lain. Terkumat-kamit mulut mengulang mantra kesabaran.
Bila ditanya pada peguam-peguam hartanah semua hairan, alasan kasih
sayang untuk pindahmilik ini hanya untuk suami isteri, ibu bapa
kepada anak. Semakan kepada perintah Duti setem dari tahun 2001
hingga tahun 2021 pun sama. Whatapp pantas kepada pentadbir
mengesahkan Si Mati kenalan sahaja kepada Si Penyewa, tak adalah
begitu rapat sampai nak ambil anak perempuannya jadi anak angkat.
Padanlah pentadbir ada cerita bila diberitahu dan ditunjuk Borang
Pindahmilik Pelik oleh kakitangan peguam pindahmilik dia naik hiba.
Ada nama perempuan lain tak dikenali, lepas tu alasan pindahmilik;
kasih sayang. Isteri mana tak kecik hati.
Pastu aku tengok balik Borang Pindahmilik Pelik dan nampak nama firma
guaman yang menyaksikan tandatangan memorandum tersebut. Nama firma
guaman yang sama dengan peguam pindahmilik. Peguam jahanam. Terus buntang mata aku.
Padanlah dok mengelak-elak dari jumpa pentadbir, tak nak bagi
Suratcara Hakmilik Strata Asal. Fi pindahmilik ke Si Mati kau dapat lepas itu
dari Si Penyewa pun kau nak jugak. Kiri kanan kau sapu. Yang jadi
mangsanya pentadbir dan waris Si Mati.
Dalam minda aku penyapu sudah patah dua dan sami sedang mengulang
koan-koan kesabaran dengan mata terkatup rapat.
‘’Tengok ni’’ kata kawan aku sambil tunjuk satu dokumen. Satu
perjanjian sewaan, lokasi sewaan adalah alamat rumah dalam kes ni.
Bila tengok nama pemilik rumah, ianya nama yang sama di dalam
Memorandum Pindahmilik Pelik iaitu nama anak perempuan Si Penyewa.
Kata beli rumah tu tapi alasan pindahmilik kasih sayang lepas tu
peguam pemaju juga adalah peguam Si Penyewa untuk pindahmilik rumah
kepada anak si Penyewa. Pastu belum tentu arah lagi dah mengaku jadi
tuan rumah, sewakan rumah pada pihak ketiga. Aku bersandar ke kerusi,
capai pouch tembakau dan terus gulung sebatang rokok.
Penyapu sedang terbakar bersama-sama daun kering yang dikumpul dan
pakaian si sami yang dikoyak-koyak. Si sami yang hanya bercawat pula
sedang menyepak-nyepak corak batuan kerikil sambil terpekik-pekik
kemarahan.
‘’Celaka punya lawyer’’ kata kawan aku tadi. ‘’Okeh, onz
buat file ni’’ dia sambung lagi sebelum sedut asap vape
dalam-dalam.
Malam itu juga aku deraf Notis Tuntutan kepada Peguam Jahanam.
Selepas itu, aku isi borang aduan pada Badan Disiplin. Kami rancang
untuk terjah pejabat Peguam Jahanam, bagi masa sejam untuk dapatkan
suratan hakmilik strata asal keesokan petangnya juga sebagai langkah
permulaan. Kalau tak dapat, minggu depannya segala saman dan aduan
akan menimpa Peguam Jahanam. Pentadbir juga diminta untuk berada di
kawasan berdekatan esok untuk bersedia terima suratan hakmilik strata, kalau peguam jahanam tiba-tiba mengalah.
Esok harinya, aku terlambat ke tempat pertemuan dengan pentadbir
iaitu sebuah kedai makan berdekatan dengan pejabat peguam jahanam.
Kawan aku dah sampai dulu. Dia dah perkenal diri bagai. Borak
dua-tiga minit kemudian terus ke pejabat Peguam Jahanam. Di ruangan
menunggu ada pasangan Melayu sedang duduk. Sesampainya di sana ada
kerani dengan muka bosan tanya ada urusan apa.
Kawan aku dengan suara keras berkata, saya nak serve Notis Tuntutan.
Pada siapa ya? tanya kerani masih lagi bosan.
Pada firma ni, jawab kawan aku dengan nada kuat.
Terkedu kerani tadi, dari ekor mata aku nampak pasangan tadi terus
menoleh pada kawan aku dengan muka terkejut.
Peguam yang in charge untuk file ini Puan xxxxx kan? Saya nak jumpa
dia kata kawan aku.
Dia tengah solat Encik. Encik tunggu sekejap boleh? jawab kerani tadi
sehabis lembut.
Jadi kami pun tunggu. Sambil tunggu nampak kerani yang terima Notis
Tuntutan itu masuk ke bilik peguam dan duduk lama disitu. Bila
dipanggil masuk ke bilik peguam sambil duduk kawan aku terus beritahu
apa tujuan datang. Seperti dipersetujui, aku biar kawan aku yang
bercakap. Aku tak percaya diri aku untuk bercakap bila banyak benda
yang nak dihambur.
Paling penting sekali, kawan aku beritahu, Puan ada masa sejam dari
sekarang untuk serahkan Suratcara Hakmilik Strata kepada kami seperti
dinyatakan dalam Notis Tuntutan kami ni.
Kalau tak? tanya Peguam tersebut buat-buat bijak cuba cari masa untuk berfikir.
Kalau tak, I’ll see you in court, kata kawan aku tenang. Ayat klise
tapi mengancam.
Peguam telan air liur, buat-buat minta kerani carikan fail. Fail tak
jumpa kononnya.
Kami dah angkat punggung nak beransur tiba tiba fail sampai. Duduk
balik. Peguam cuba nak menerang, kata ada dapat surat dari peguam si
Penyewa kata beliau akan mulakan tindakan Mahkamah untuk menuntut hakmilik rumah tersebut kerana beliau yang bayar
ansuran bulanan pada bank jadi mereka tak berani nak menyerahkan
geran asal pada pentadbir walaupun tahu pentadbir berhak pada geran
asal.
Badan aku dah ke depan nak menjawab sebelum
teringat janji aku untuk kunci mulut walaupun banyak boleh ditanya
dan dimakikan, aku bersandar balik ke kerusi. Kawan aku tolak balik
surat itu tanpa tengok, sebab kami dah tengok pun surat tu semalamnya
dari dokumen yang diberikan pentadbir. Bila nampak alasan diberi
tidak kami terima, peguam beri pula alasan perlu call terlebih dahulu
peguam si Penyewa untuk meminta kepastian. Aku tahan keinginan untuk
hambur kata-kata kesat atas alasan tak masuk akal yang diberikan. Kawan aku cuma cakap, Puan buatlah apa Puan nak buat. Puan ada masa
sejam.
Kami pun kembali ke kedai makan sambung berborak dengan pentadbir.
Kurang dari sejam dapat panggilan. Geran sedia diambil. Cuma peguam
jahanam minta salinan surat kuasa mentadbir. Kami buat arrangement untuk serahkan
kemudian.
Pegi kembali ke pejabat peguam jahanam. Sign surat pelepasan geran
dan ambil geran. Sambil-sambil kawan aku sign surat, Peguam cuba-cuba
buat baik dengan kawan aku. Borak kosong. Very eager to please. Siap
tawarkan ada satu kes jenayah untuk kawan aku kerjakan. Entahkan ye
ke entahkan tidak. Dalam hati aku dok pikir, nampak macam biasa
sangat menawar gula-gula untuk melancar kerja atau menghadang
bala. Takut dengan kawan aku pun boleh jadi juga.
Peguam jahanam juga ada ulang kembali yang dia tak ada hak untuk pegang geran
lama-lama sebab dia kena pindahmilik pada Si Mati. Nak sahaja aku
maki; dah tu kenapa sampai lepas 15 tahun geran strata keluar baru
kau nak pindahmilik pada Si Mati?
Aku tak percaya pemaju yang lambat setelkan borang pindahmilik.
Fakta-fakta yang ada lebih berat menunjukkan kepada peguam jahanam
memegang geran strata asal rumah tersebut dengan harapan pentadbir
akan putus asa dan membenarkan pindahmilik kepada si Penyewa
disempurnakan.
Kembali ke kedai makan, serah geran asal pada pentadbir. Senyum lebar
pentadbir, ucap terima kasih berulang-kali. Sebelum mata berkaca
(mata pentadbir, bukan mata aku), aku dengan kawan cepat-cepat
beransur mencari tempat lagi selesa untuk berbual, berasap dan
menyusun langkah seterusnya. Panjang lagi perjalanan kes. Banyak
kausa tindakan dan banyak pihak boleh diheret sama.
Bila kami dah tenang-tenang di kedai satu lagi sambil hirup milo ais
aku beritahu dia: Brader, lu memang power. Tenang all the way. Kalau
aku pegi sorang tak rasa boleh settle hari ini juga. Dia senyum dan
cakap rasa senang hati dapat tolong orang yang betul-betul kena
tindas. Aku mengangguk setuju sambil sedut asap. Dalam hati berdoa harapnya aku tak tergelincir dari landasan bila digoda dengan wang.
Nota:
Ang Ming Lee & Ors v. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan & Anor and other appeals [2020] 1 CLJ 162;
[2020] 1 MLJ 281
PJD Regency Sdn Bhd v. Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah & Anor
and other appeals [2021] 2 CLJ 441; [2021] 2 MLJ 60