On Hope. Its abundance or (perceived) lack thereof.

 

Aku seorang yang pesimistik. Tapi itu tidak bermakna aku hanya nampak hari mendung kelabu sepanjang masa. Aku masih percaya lepas mendung, hujan atau ribut selagi ditakdirkan Matahari akan kembali keluar menyinari alam. Cuma aku kemana-mana dengan kebersediaan untuk menempuh hujan (baju cepat kering, beg dan sandal yang kalis air, payung.. Itu mengingatkan aku untuk beli payung baru. Payung lama dipinjam tak dipulang. Cilaka), kalau perlu. Aku adalah Bert bilamana sebahagian lain populasi dunia adalah Ernie yang girang tanpa risau dan aku perasan bahawa makin meningkat umur semakin grumpy aku dibuatnya. I mean is that even natural? To be expected?

Ok, aku mungkin conflatekan keadaan grumpy dengan pessimistic. Tapi pohon bertahan dengan aku.

Aku pernah terbaca satu temubual diantara penulis siri The Witcher, Andrzej Sapkowksi (sebut sekali dengan aku: Ann-jeyy Sap-kov-ski) dengan satu publikasi yang aku tidak ingat namanya. Bila ditanyakan apa yang beliau harapkan dari adaptasi Witcher di Netflix, Andrzej jawab: Life is, basically, fucking shit. Best to keep your expectations low. Maybe you’ll be pleasantly surprised.

Berdekah gelak aku baca jawapan Andrzej. It fits. Satu, Netflix memang dikenali dengan perangai menjahanamkan cerita bagus dengan agenda woke tak bertempatnya. Keduanya, dalam dunia The Witcher, watak utamanya Geralt of Rivia memang satu watak yang world weary, pesimis pun ya juga. Macam mana tak pesimis. Beliau adalah saki baki golongan mutan yang diberikan tugas murni untuk melawan raksasa-raksasa cerita rakyat Slavic tapi sayangnya, dicemuh dan dibenci golongan manusia yang dilindunginya itu. Magis pula dikuasai golongan tamak kuasa yang cuba mempengaruh raja dan permaisuri negeri-negeri yang selesa bergembira atas takhta masing-masing. Kaum bukan manusia penduduk asal tanah pula ditindas, dibunuh. Pada masa yang sama, nun di kejauhan di negeri Nilfgaard bibit-bibit perperangan sedang disemai (pada awal buku/game lah). Senang kata hidup rakyat kebanyakkan dalam dunia yang diperintah raja dan ahli magis tamak adalah poor, short and brutish. Kecuali Geralt dan rakan-rakan. Geralt dan rakan-rakan ada plot armour. Mungkin akan lunyai dibantai tapi takkan mati selagi belum tamat siri.  Tapi setebal mana pun plot armour Geralt, ianya tak tebal di bahagian hati. Disebalik gaya sinis dan tak berperasaan, Geralt ada sense of right and wrong. Ini jelas bila Geralt masih lagi mencari si Ciri walaupun Cintra dan istananya telah jatuh ke tangan tentera Nilfgard kalau ikutkan boleh sahaja dia lupakan segalanya atau beri alasan ; istana dah jatuh mesti Ciri dah mati dibunuh dan teruskan hidup memburu raksasa demi duit dan minuman dan perempuan. Tetapi tak. Geralt si rambut putih ini masih memasang harapan yang Ciri masih hidup.

Sama seperti watak John Stone yang dilakonkan oleh John Turturro dalam siri terhad HBO, The Night Of. Beliau adalah peguambela yang juga world weary, rutinnya adalah untuk singgah dari balai polis ke balai polis demi mendapat kes-kes tangkapan baru (touting). Pendek cerita, John adalah bottom feeder yang putus harapan dengan diri sendiri untuk buat kerja selain touting di balai-balai dan membuat kes-kes pengakuan bersalah hingga bila dituduh sebagai seorang red kerana percayakan penjenayah masih ada hak untuk diwakili peguam oleh polis yang sedang bertugas dia buat bodoh sahaja. Semangat beliau yang sebelum ini pudar dek selama ini bergelumang dengan penjenayah yang ingin dilepaskan atas sebab teknikaliti datang kembali bila berdepan dengan anak guam yang betul-betul tidak bersalah iaitu Naz, anak pemandu teksi yang dituduh membunuh seorang gadis di rumah gadis tersebut. John sudah keluar dari balai, bersedia untuk balik bila dia teringat pada Naz si pemuda nampak datang dari Timur Tengah sedang dalam tahanan system kehakiman jenayah Amerika pasca 9/11. Dia patah balik dan masuk semula ke balai kerana harapkan dia boleh make a difference untuk Naz.

Untuk kejelasan aku bukan world weary. Aku belum cukup lama mengenal dunia untuk ada perasaan sedemikian rupa. Just plain weary and grumpy.  Ini bukan satu aduan. Cuma satu kenyataan fakta. Boleh jadi juga kerana aku menaip ini dengan keadaan tak cukup tidur. Aku perasan yang kau lebih cekal, lebih positif bila kau cukup tidur.

Kembali kepada Andrzej Sapkowski dan tanggapan beliau mengenai Netflix dan kehidupan. Aku setuju dengan pendapat beliau. Harapan boleh jadi tingkap-tingkap kepada kekecewaan tapi kalau kau tak buka tingkap, tak dapat udara segar. 

Fakta Andrej ada beri kebenaran untuk Netflix membuat adaptasi hasil kerja beliau menunjukkan Andrzej ada memasang harapan untuk satu adaptasi yang tulus dan mengikut tulisannya akan dihasilkan oleh Netflix. Sama ada Netflix berjaya atau tak, aku tak pasti.

Pokoknya, perlu ada harapan tapi tak boleh banyak sangat. Kerana bila banyak sangat takut kau lupa untuk berpijak pada bumi yang nyata. Tak ada harapan pula akan buat kau murung, rasa nak buat benda merepek yang mempunyai kesan muktamad. Jadi aku kira satu imbangan perlu dicapai di antara terlalu berharap dengan terus berhenti berharap. Jadi tingkap-tingkap itu perlu dikuak buka tapi jangan besar sangat. Nanti nyamuk masuk, takpun tempias hujan.

Itu pada aku lah. Aku mungkin salah.

Si stoic-stoic lama ada memberi buah fikiran berguna berkenaan harapan. Ada seorang aku tak ingat siapa yang kata unexpected blows from Fortune lands heavier, yang aku kira adalah cara lain untuk mengatakan bahawa adalah, expect the worst. Jauh lebih baik untuk menerima kejutan yang menyedapkan hati, yang buat kau tergelak, senyum melebar daripada meletakkan harapan tinggi yang bila tak jadi, tak tercapai membuatkan kau rasa kecewa tak sudah.

 

Boleh jadi juga meletakkan harapan pada perkara yang berada diluar kawalan kau pun boleh membuatkan kau kecewa atau mudah kecewa. Iyalah, bukan semua benda kau ada kawalan. Sebagai contoh siapa Mak Bapak kau, kaum kau, jodoh kau, negeri mana kau di lahirkan, keputusan kes kau, dekat mana dan bagaimana kau mati. Benda-benda macam tu memang luar kawalan kau. Benda yang kau boleh kawal; siapa kawan-kawan kau, apa kau makan pagi ini, berapa batang rokok kau hisap hari ini, macam mana kau membuat persediaan untuk kes kau, macam mana kau pilih untuk hidup dan lain-lain perkara. Tak banyak tapi cukup untuk bagi kau sense of control. Cukup untuk buat kau rasa bertanggungjawab atas hidup kau sendiri.

Harapan ini memang terang-terangan jatuh bawah senarai perkara yang kau boleh kawal. Kau tak boleh kawal Tuah, Takdir tapi kau boleh kawal kebergantungan emosi kau pada Tuah, Takdir atau apa-apa terma yang kau nak pakai.  

Nak pasang harapan boleh tapi harapan itu perlu disemat selepas usaha sehabis baik dan juga dengan persediaan andaian apa yang tak diharap itu tak menjadi. Tak guna pasang harapan kalau tak ada usaha. Kalau kau percaya, berdoa selepas segala usaha. Itu usaha terakhir. Itu senjata kau. Terutamanya sewaktu hujan.   

Akan sentiasa ada harapan selagi ada ujian sebagaimana akan sentiasa ada hujan selagi ada matahari terik di Malaysia ini. Itu adalah hukum alam. Kadang-kadang kau tempuh hujan keseorangan, mencicit berlari ke kereta. Kadang-kadang kau jalan selamba dalam hujan lebat sebab pada waktu itu tak ada apa yang boleh sakiti kau apatah lagi hujan lebat. Kadang-kadang bila tak dijangka ada yang hulur payung bersaiz jumbo pada kau ajak jalan tempuh hujan sama-sama ke kereta. Kadang-kadang ada juga yang gila dan ajak kau berlari main hujan sama-sama.

 

Jangan dilupa juga, lepas hujan lebat jugalah tumbuh mekar segala jenis tumbuhan. Termasuklah cendawan busut. 

Cendawan busut sedap kalau buat kari. 

 

Comments

Popular Posts