Ter-sebut


Sebelum ada sistem E-Review, semua pengurusan kes dijalankan secara fizikal tak kira kes jenayah atau kes sivil. Jadi mahkamah-mahkamah termasuklah Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan jauh lebih riuh daripada sekarang ini dengan peguam-peguam ke sana ke mari, duduk menunggu diluar kamar pengurusan kes atau bilik Mahkamah. Ada yang tunggu berjam hanya untuk menghadiri pengurusan kes tak sampai 5 minit. Kalau mahkamah dalam negeri dan dalam mukim kau tak apa lagi. Yang jadi masalah bila kes kau di luar mukim kau beramal sebagai contoh, kau beramal di luar Lembah Klang dan kau ada pengurusan di Istana Kehakiman. Memandu atau naik kapal terbang semata-mata untuk beritahu penolong pendaftar yang kau dah failkan segala dokumen pra-perbicaraan adalah tidak berbaloi. Sangat tidak berbaloi dari segi kos dan masa kau cari tiket kapal terbang atau memandu berjam-jam.

Satu amalan yang diterimapakai dikalangan peguam dan sistem perundangan adalah bila ada kes di luar kawasan untuk minta peguam dalam mukim untuk hadir ke mahkamah bagi pihaknya. Amalan ini disebut sebagai Menyebut Bagi Pihak atau dalam Bahasa Inggerisnya, Mention on Behalf (MOB). Fahri ada tulis dengan panjang lebar berkenaan sejarah amalan MOB ini dalam buku beliau, The Malaysian Guide to Advocacy (Ya, ini adalah iklan). Di Annexure 2 tak silap aku.

Kalau ikut cerita old timer, MOB ini dahulu satu servis tak berbayar, satu bentuk mutual aid dikalangan pengamal. Bila aku mula beramal yang aku tahu MOB ini berbayar melainkan kau buat bagi lawan kau dalam kes atau untuk kawan-kawan rapat. Aku cuma tahu MOB itu berbayar kerana MOB itu punca pendapatan utama aku. Kadar bayaran itu pun mula-mula aku main letak aja. Congak kos minyak, tol dan penat. Bila kau freshly called to the Bar, tak ada nama, tak ada kes tapi ada tanggungan. MOB la jawab nya. Jadi bahan belasahan untuk warga Kehakiman umpama Kevin Costner menahan peluru untuk Whitney Houston.

Aku ingat lagi bila pertama kali MOB di Istana Kehakiman. Waktu itu aku tak tahu berapa rate untuk hadir ke Istana Kehakiman jadi aku caj lebih kurang RM 150.00 (Istana Kehakiman kot!), seingat aku lah. Instructing lawyer (yang mewakili Perayu) punya instruction pula hanyalah emel pendek yang berbunyi: Please obtain a new appeal date. Aku pun okay kan sahaja dalam hati. Duit punya pasal, tak pikir panjang. Lagipun itu bukan kali pertama terima instruction one-line sebegitu dari instructing lawyer dan seterusnya lunyai dihambur Hakim atau Majistret. Tapi itu kali pertama dalam instruction sebegitu bagi kes di Istana Kehakiman. Tapi masih juga aku minta kertas kausa dan dokumen-dokumen berkaitan di emel kepada aku, just in case.

Pada waktu itu, kali terakhir aku ke dalam salah satu bilik Mahkamah di Istana Kehakiman adalah pada waktu lawatan sambil belajar waktu sebelum betul-betul buat Degree. Aku datang nak tengok hujahan berbalas hujahan, the bloodsport where the both opponents would pummel each other (verbally) until the judge would signal for the parties would disengage and a ruling made whereupon the Victor would howl in triumph (dalam hati). Tapi takde, cuma ada sesi taklimat dari pegawai Istana Kehakiman. Potong stim betul.

Pagi hari jadi itu aku memang datang paling awal ke Istana Kehakiman, sarapan pun tak. Resah pun ya, teruja pun ya. Tapi mostly rasa nak pitam. Baru pagi itu realiti sebenar apa yang aku bakal buat sampai ke otak aku. Aku datang dengan bersedia untuk kena tibai di Mahkamah Terbuka tapi bila fikir balik, pagi itu aku akan kena tibai dengan 3 hakim. Waktu itu segala benda dalam badan yang boleh dirembes, diteran keluar dari badan terasa nak keluar. Panik sekejap. Sebelum masuk ke bilik Mahkamah, aku telefon semula instructing solicitor minta butiran penting rayuan. Dia akhirnya bagi butiran kes (aku dah minta lama dah) tapi memang tak cukup untuk aku bawa rayuan kalau perlu.

Bawa rayuan. Kecut perut aku bila fikirkan. Apa la aku tau tentang bawa rayuan di Istana Kehakiman. Aku cuba call mana-mana peguam senior yang aku kenal untuk mintak last minute pointer nak kendalikan soalan-soalan hakim peringkat Rayuan sebegini. Clutching at straws lah pendek kata. Yang jawab panggilan telefon cuma seorang dan itupun dia cakap dia tak pernah sampai Mahkamah Rayuan jadi memang tak tahu apa langsung. Dari resah jadi redha. Sarung jubah dan buka pintu bilik Mahkamah.

Bila masuk ke bilik Mahkamah terus aku ternampak para peguam beratur depan satu komputer sebelah meja Polis Mahkamah. Ramai peguam berkeliaran, berbual. Boleh nampak di situ ada dua jenis peguam. Yang sibuk menelaah bundle masing-masing kebanyakkannya yang muda-muda. Yang lebih senior sibuk berbual dengan rakan-rakan yang sama usia. Pegi jumpa Pendaftar dulu (masa tu aku ingat dia Jurubahasa) bagi nombor rayuan. Dia bagi sekeping kertas ada nama Hakim-hakim yang menjadi panel pagi itu dan suruh aku daftar kehadiran sambil tunjuk kepada komputer yang ada ramai peguam beratur didepannya.

Selesai daftar nama aku duduk di tempat paling dekat dengan pintu, paling belakang sekali. Kalau kelaut MOBnya nak lari senang. Gitulah agaknya mind bawah sedar aku berfikir. Nasib baik kes-kes lain dipanggil dulu. Seingat aku kes aku pada pagi itu adalah kes ke empat dalam senarai. Rupanya pagi itu rayuan yang ada permintaan untuk adjourn akan di dengar terlebih dahulu. Aku perhatikan satu persatu kes yang dibawa, lenggok bahasa dan cara peguam pujuk panel, ambik nota sambil menunggu. Kes-kes yang berjalan semua ada alasan kukuh untuk adjournment tapi bukan kes aku. Aku tak ingat apa alasan yang instructing solicitor bagi. Yang aku betul-betul ingat alasan dia merapu.

Bila nombor kes dipanggil dan aku bingkas berdiri. Aku tak tahu kalau kau pernah main game CRPG point and click berjudul Diablo dalam game tersebut ada satu boss level nama dia The Butcher. Bila kau masuk ke dalam sarang dia yang penuh dengan bangkai dan mayat mereka yang disembelih, kata-kata sambutan dia pada kau adalah: Ahh! Fresh Meat!. Itu yang aku boleh nampak dari riak wajah panel pada waktu itu. Semua senyum sinis tengok aku.

Aku ingat Yang Arif Hakim yang chair adalah lelaki, Melayu, bercermin mata, aku lupa nama dia dan ahli panel lain. Perkenal diri seperti biasa kemudian maklumkan pada mahkamah bahawa perayu pohon adjournment untuk rayuan. Saat itu hilang segala gemuruh dan takut. Tau tau je aku sedang berada dalam Zen state. Zen state bagi aku adalah titik tengah di antara mengantuk dan sedar, di antara gugup teruk dan terlebih yakin. Perasaan kau semuanya diketepikan, disimpan dalam peti. Bila aku dalam Zen state semua benda yang tak ada penting akan dimute, ditolak ketepi, dan tutur kata aku akan keluar sebutir-sebutir tanpa gagap atau mumbling. Yang ada cuma aku dan perkara yang aku nak kerjakan itu. Banyak kali cuba untuk replicate kembali keadaan untuk buat aku masuk kembali dalam Zen state tapi tak selalu berjaya. Satu yang aku perasan adalah aku masuk dalam Zen state lebih mudah bila aku dapat tidur yang cukup dan tak makan apa-apa pada hari bicara/pendengaran dan bila aku ada Chronology of Case ditangan. Tanya lah apa pun, semua aku boleh jawab.

Aku tak ingat sepenuhnya apa panel tanya pada aku. Yang aku ingat panel tak bertanya alasan untuk adjournment. Sekali pun tak. Aku rasa panel memang dah tau kenapa tapi saja nak bergurau kasar dengan aku. Fresh meat kan. Panel dok tanya pasal fakta kes pada aku. Tanya mana Responden (respondent tak datang, aku tak ingat kenapa). Aku jawab setakat mana yang instructing lawyer beritahu aku sambil cakap dengan cara paling hormat bahawa aku bukan orang sesuai untuk jawab semua soalan. But you are here aren’t you? When you appear in court you are the counsel for the case for the day, you are deemed to know all there is to know about the case, kata chair pada aku. Setepek aku kena. Aku angguk setuju sebelum tunjuk dekat dia email sekeping yang aku ada. Yang Arif, I really wish I could help Yang Arif but unfortunately this is the only document that was provided to me by the instructing solicitor despite my requests for more documents (memang betul pun. Aku telefon dan emel pejabat dia banyak kali tapi staff dia layan tak layan je. Bila pagi hari MOB baru betul-betul dia bagi aku brief important facts). Panel tak pedulik, berganti-ganti tanya aku pasal fakta kes sampai last sekali bila chair tanya aku berkenaan satu fakta kes yang aku tak sure, aku balas: Yang Arif, I fear I am ill equipped to tackle Yang Arif’s insightful questions. I humbly seek an adjournment for the matter so that the Appellant’s counsel could better tackle your questions. Chair bagi aku senyuman sinis terakhir pastu suruh Pendaftar bagi tarikh baru. Dapat tarikh baru, ucap terima kasih dan terus duduk. Panel terus mengalih perhatian kepada mangsa seterusnya.

Aku tak sedar bila aku keluar dari Zen state. Yang aku tau aku rasa penat sepenat-penatnya. Lunyai beb. Bila aku keluar dari bilik Mahkamah dan call pejabat instructing lawyer pun dari plan nak marah dia pun kesudahannya aku cakap lembut tapi, aku tetap mintak extra RM 150 dari dia. Elaun kena tibai, aku cakap kat dia. Dia okay kan je. Tamat je panggilan terus emel outcome dan arahan Mahkamah bersama butiran perbankan aku.

Bila hilang sikit penat baru terfikir, aku kena tibai dengan 3 hakim dan aku selamat dan dapat apa yang diarahkan untuk pohon dari Mahkamah. Aku berjalan ke kereta dengan keyakinan membuak-buak. If I can do this, I can do anything, aku ingat aku ulang-ulang dalam kepala. Masa itu kalau kena tembak pun aku rasa boleh tepis peluru. Bila dah tua sikit ini baru lah terfikir betapa kurang bijaknya aku ambik brief tanpa tau fakta penuh, walaupun hanya kes MOB.

Petang yang sama RM 300 masuk dalam akaun aku. Sejak dari hari itu firma yang sama banyak bagi aku kerja MOB (termasuklah mintak adjournment appeal) di Istana Kehakiman hinggalah sistem E-Review digunapakai. Tak lama lepas hari tersebut aku dapat tahu rupanya standard rate MOB di Istana Kehakiman adalah sekitar RM 300 dan itu adalah caj aku selagi mana ada MOB di Istana Kehakiman. Sejak hari itu juga kalau ada yang mintak aku MOB aku akan berkeras minta segala dokumen dan kertas kausa berkaitan di emel pada aku. Sekurang-kurangnya kalau kena hentam dengan Majistret/Hakim/Yang Arif Hakim tahu apa nak di jawab. Kalau kecundang sekalipun sekurang-kurangnya melawan.

Bila kau buat kerja-kerja MOB ini bagi aku dia adalah sesi practice run bagi kau untuk menyediakan mental dan jiwa kau untuk perbicaraan penuh, pendengaran rayuan. Macam peninju berlatih dengan menumbuk beg pasir. Cuma dalam analogi ini, kau bukan peninju, kau adalah beg pasir. Tak best bagi sesetengah orang tapi bagi aku untuk salah satu cara untuk belajar memperbaiki tumbukan dan melatih daya tahan adalah untuk menerima tumbukan demi tumbukan sampai kau tahu macam mana nak roll with the punch, sampai kau tau macam mana nak bagi tumbukan.

Kata Pyotr Kropotkin, Mutual Aid is a factor in evolution, dan aku setuju. Bila selalu dihentam secukupnya buat kerja-kerja MOB untuk rakan pengamal samada yang tak dikenali atau kawan-kawan mau tak mahu kau akan jadi biasa dan makin berani berurusan dengan Mahkamah terbuka. Kulit kau makin tebal. Hati kau makin keras. Bila disergah Hakim pun kau dah tak melatah dan tahu nak jawab apa. Itu yang akan buat kau berkembang dan makin maju sebagai seorang pengamal. Dahulunya aku buat kerja-kerja MOB sebab nak makan. Tak buat tak makan. Sekarang aku buat sebab rindu merayap ke mahkamah sana sini.

Mungkin sekarang susah untuk ke Mahkamah bagi pendengaran ke apa tapi itu bukan alasan untuk takut-takut merebut peluang untuk appear di Mahkamah Terbuka. Susah beb nak dapat peluang sekarang. Semua benda online. Semuanya melalui Zoom, melalui pertukaran emel, melalui E-review. Jangan tunggu boss/partner/senior suruh baru nak ke Mahkamah. Kau tanya direct terus, mintak, rayu kalau perlu. Berbunga-bunga hati bos/partner/senior ada junior yang bersemangat macam kau. Kalau beramal/Membuat latihan dalam kamar di firma yang mengamal undang-undang jenayah memang kebanyakkan masa akan ke Mahkamah. Kalau beramal/Membuat latihan dalam kamar di firma yang mengamal praktis debt recovery pula lagi best. Sejak jumlah minimum hutang untuk tindakan kebankrapan dinaikkan kepada RM 100,000.00 banyak tindakan pelaksanaan penghakiman dibuat melalui Saman Penghutang Penghakiman yang memerlukan kau bertanyakan siri soalan kepada si Penghutang Penghakiman untuk menentukan kemampuannya untuk melangsaikan hutang penghakiman. Di situ adalah satu peluang untuk mengasah kemahiran bertanya soalan yang menjadi tunjang seorang pengamal. Pokoknya kalau ada peluang ke Mahkamah, ambik.

Lagi satu yang membuatkan seronok buat kerja-kerja MOB ini adalah kau akan dapat jumpa bermacam-macam jenis peguam dan pegawai Mahkamah dengan ragam masing-masing. Ada yang cukup anti dengan peguam MOB, ada yang sangat membantu dan tenang sebab dia tau bukan salah peguam MOB kalau instructing solicitor tak ikut arahan Mahkamah Sebelum ini. Paling seronok kalau MOB bila peguam pihak satu lagi adalah peguam senior. Memang rancak bercerita kalau kau tanya dia soalan sambil tunggu kes dipanggil tu. Kadang-kadang kes dah selesai pun dia boleh sambung balik bercerita. Selalunya mereka akan bercerita mengenai kisah-kisah perang mereka, kes-kes yang mereka pernah buat dahulu yang syiok didengar dan ambil pengajaran. Ada seorang peguam senior perempuan berbangsa Cina yang aku dah lupa nama dia bercerita tentang waktu dia di bomoh sampai tak boleh nak bawa Rayuan di Mahkamah Rayuan. Hakim bila bercakap tak keluar suara. Hanya bunyi air terjun terus menerus. Bila dia sendiri cuba buka mulut dan bercakap pun sama. Seram shit.

Lawyer senior juga selalunya bermurah hati dengan nasihat-nasihat terutamanya berkenaan strategi dan taktik untuk menangani kes-kes perbicaraan. Mereka tak kisah pun kalau kau buka buku dan ambil nota, bahkan lagi dia suka. Lagi kau banyak bertanya lagi dia suka. Siapa kata belajar kena berkursus, kena masuk kelas?

Tapi harus diingat, ini semua sebelum E-Review digunapakai di Istana Kehakiman. Sekarang lain. Sangat lain. Banyak masa dihabiskan dibelakang skrin bagi kes-kes sivil.

Bagi aku mengamal ini bila makin lama semakin berkurangan interaksi bersemuka sesama manusia itu makin hilang erti mengamal undang-undang itu sendiri. Macam mana nak timbul semangat kekitaan (camaraderie) bila berjumpa atas talian sahaja. Bila kehadiran ke Mahkamah secara fizikal itu pun dah dikurangkan (kecuali kes jenayah) adakah masih relevan untuk tahu adab dalam Mahkamah. Peguam litigation jenis apa tak ke Mahkamah? Adakah lagi perlu bangunan Mahkamah itu sendiri? Bila dibatasi skrin komputer atau peranti, kepentingan dan keseriusan perjalanan proses Mahkamah itu sendiri hilang. Apa beza peguam dengan operator dron bila kedua-duanya menghabiskan masa belakang skrin?

Aku tak tahu. Mungkin ini hanya rungutan aku seorang yang lebih suka menghadap berdepan tanpa skrin memisahkan aku dengan hakim dan lawan.

Lain perasaan dia bila kau boleh nampak tanpa batasan skrin muka lawan tahan kerut bila nampak saksi dia koyak dalam kandang saksi atau mata hakim yang buntang bila dengar saksi bagi jawapan merapu bagi soalan direct. Banyak benda yang lost in transmission bila segalanya secara atas talian. Tapi itulah kehidupan. Tak ada penyelesaian sempurna, cuma ada stopgap measure yang menerbitkan seribu satu lagi masalah.

Iya sejak pengenalan sistem E-Review dah kurang permintaan untuk kerja-kerja MOB. Jauh berkurangan. Kurang tapi bukan pupus terus. Akan ada satu hari bila mana Mahkamah secara tiba-tiba menetapkan tarikh pendengaran atau sebutan secara fizikal dan kau ada kes lain pada tarikh tersebut dan tak ada anak buah yang boleh hadir bagi pihak kau, tak mengapa. Aku ada. Kalau kau nak mintak adjournment tapi tak nak mengadap hakim atau panel, atau tak larat kena bebel secara fizikal dengan hakim atas apa sebab apa sekalipun, aku ada. Selagi di Lembah Klang, aku sentiasa ada.

I’m no Kevin Costner but will take that metaphorical bullet (or bullets) for you just the same.

~Andd aaiiiiiiiiiieeiiiiiiii will alwayys emmoobee for youuuuuhuuhuuuueaaaaah (jerit macam mendiang Whitney Houston)


Comments

Popular Posts