Mak
Where do I even begin.
Mak pernah cakap dengan aku dulu, Hidup ni umpama tayar. Kadang-kadang di atas. Kadang-kadang di bawah. Bila dah tua bangka ni baru faham maksudnya apa. Menang bukan selalu, kalah bukan selamanya. Hidup ada cara untuk buat kau rasa humbled bila perlu dan memberi motivasi untuk terus berjalan tatkala kau rasa kena hempuk bertalu-talu dengan nasib tak baik.
Macam itulah kut kehidupan Mak. Dia bukan datang dari keluarga senang. Susah sangat pun tak jugak. Middle class la kut. Arwah Atuk dulu kerja dengan British Army, jadi Chief Clerk katanya sampai disiplin ketat tu dibawak balik ke rumah. Memang patut pun. Adik beradik mak ramai. Dia antara paling muda. Belajar pun bukan jurusan professional. Tapi pelajaran Mak paling besar bukan dari universiti. Ayat klisenya mak belajar dari kehidupan, lebih tepat lagi kehidupan lepas universiti. Dan kehidupan Mak banyak mengajar aku.
Mak banyak kali disalahanggap sebagai seorang peguam. Satu, from time to time dia akan pakai hitam putih bila pegi kerja dan lagi satu dan paling penting, dia tak takut dengan sesiapa. Dia nampak ada yang tak kena pada tempatnya, benda tak betul, memang dia akan tegur, memang dia akan bebel. Dia akan gaduh(mulut) kalau perlu. Berdarah la telinga, tersiat-siatlah ego kau kalau kena. Itu satu skill tak turun sepenuhnya pada aku. Aku man of peace. Most of the time-lah.
Masa muda, baru berkahwin, Mak dengan Abah rajin mengumpul majalah National Geographic. Majalah berkulit kuning inilah yang menjadi tingkap pertama aku pada dunia. Bila Mak meningkat usia dia mula baca buku-buku Stephen Covey. Malcom Gladwell. Jenis-jenis buku macam tu. Buku self-help. Cerita pasal manusia, pasal cemana nak lengkapkan diri, baiki diri untuk menghadapi perangai manusia, nak menghadapi dunia. Agaknya dari situ aku pun mula minat menelaah pasal falsafah. Iyalah, falsafah ini pun berkisar tentang manusia, perangai manusia dan kehidupan. Sekarang bila dah tua Mak rajin menyelak buku agama, fikir pasal di Sana nanti pula.
Mak memang sayangkan kami adik-beradik. Makan pakai semua cukup, tak kiralah waktu dia suri rumah sepenuh masa atau bila dia mula bekerja semula. Makan semua dia masak from scratch. The kind of food that sticks to your bones. Takde maknanya benda-benda instant ni. Aku cuma aktif makan megi bila dah masuk universiti. Kalau Mak masak, memang bertambah-tambah nasik. Bila di Kedah, aku rindu sambal tempe ikan bilis dia. Kadang-kadang sampai call tanya harini masak apa. Pastu kena bebel: tanya masak apa bukan boleh makan pun dia cakap. Aku balik dari Kedah kurus (ini bukan mitos) sampai ada sepupu tanya aku isap dadah ke.
Itu, satu lagi skill dia yang tak turun pada aku. Memasak. Padahal itu survival skill penting tiap lelaki kena ada selepas menjahit. Takat goreng telur, nasik goreng cincai boleh lah. Tapi nak memasak sampai ramuan tu main agak-agak je campak tapi sedap menjadi, itu memang bukan kepakaran aku. Aku bukan Mak.
Dia pernah kata dahulu, my children are my life. Dengan siapa sahaja dia tak bergaduh demi kami adik-beradik. Apa saja mak tak buat untuk besar kan kami. Sampaikan aku rasa dia betul-betul mula menikmati hidup ini bila kami dah besar panjang pasal dia sentiasa ada dengan kami. Sentiasa. Tapi iyalah, bila meningkat remaja, membesar mula lah nak melawan, little shits that we were. Konon nak melebar sayap.
Dari masa ke semasa ada juga aku jenguk, bawak cucu-cucu dia buat teman kasi senyum tengok gelagat dua hero. Tapi tak selalu. Aku pun tak pasti kenapa. Sebenarnya tak ada alasan untuk aku tak luangkan masa dia sebagaimana dia banyak habiskan masa dengan kami waktu kecik dulu. Aku bukan kerja 9 to 5 pun. Aku bukan answerable pada sesiapa kecuali pada client. Entahlah. Mungkin kerana banyak titi-titi yang roboh tak boleh diseberangi kembali, simpang diambil yang tak boleh berpatah balik.
Boleh jadi juga itu hanya alasan. Aku harap esok hari aku tak kena menjawab kenapa aku tak luangkan masa dengan dia masa dia masih ada.
Baru baru ini hari lahir Mak. Dia hantar WhatsApp pada anak menantu pesan tentang akhirat. Pesan tentang rapuhnya kebergantungan pada manusia itu. People will fail you. Sometimes inadvertently. Sometimes deliberately. Kat situ aku tau Mak memang cakap dari pengalaman sendiri. A number of people failed Mak. If I am honest with myself, I might even count myself as one of them, inadvertently. Aku manusia, tak sempurna. Mak pun sama walaupun bagi aku dia the only superwoman in the world sebab lalui apa yang dia lalui untuk besarkan kami. Alhamdulillah jadi la juga orang kami adik beradik ni.
Mak adalah produk generasi dia jadi sememangnya ada benda yang Mak dan aku tak sependapat. Tapi tak sependapat macam mana pun dia Mak aku. One and only.
Kehidupan Mak ajar aku bahawa hidup tak adil tapi itu bukan alasan untuk kau tak berlaku adil pada orang lain. Mak ajar aku untuk take no shit from no one, untuk terus melawan dan terus melawan. Mak juga ajar bahawa a good pair of shoes are the best investment one can make. Dari Mak juga aku belajar untuk jangan harapkan orang untuk tolong kau kalau kau sendiri tak cuba tolong diri kau sendiri, bahawa sesungguhnya tak ada alasan untuk tak belajar. That everything and everyone is a lesson for you.
Aku tak tahu macam mana kehidupan bila Mak tak ada nanti. Kerana Mak sentiasa ada. That one constant in my life bila semua benda kejap-kejap berubah.
Mungkin itu pelajaran terakhir dari Mak. Final lesson on growing up. That one day she will no longer be around to guide me (and nag me). My first and greatest teacher. My north star.
My mother.
Comments
Post a Comment