Bulan Puasa
Ada satu hari pada minggu kedua Ramadhan yang sangat panas. Panas rimas hingga aku terasa nak potong rambut. Jadi aku gunapakai pemotong rambut bagi tujuan itu. Lega. Bila mengemas rerambut yang bersepahan itu baru aku perasan banyak rambut yang bukan lagi hitam. Jadi aku membuat rumusan yang putih itu bukan rambut aku, rambut jiran kut, tak pun bulu kucing (aku selalunya potong di luar rumah pasal senang nak sapu dan memang akan ada kucing-kucing kejiranan yang lalu lalang). Rambut aku kekal hitam, kerana hitam itu bergaya.
Kemudian, bila bermulanya bulan
Ramadhan satu perkara yang tak pernah berlaku telah berlaku. Lesu itu pasti dan
selalu. Tapi Micro Sleep, itu tak pernah berlaku. Micro sleep yang berlaku di
mana-mana dan tak kira bila walaupun cukup tidur dan lengkap bersahur segala. Hampir
setiap hari, Hinggakan nak kemana-mana di siang hari aku memandu perlahan dan
dengan tingkap diturunkan. Mungkin kerana tak dapat kopi kut, aku sedapkan
hati.
Entahkan kenapa kali ini Ramadan
penuh cabaran. Hati kecil mengejek perlahan: kau dah mula tua kot. Jiwa ego
pulak membentak: diamlah! Aku masih lagi muda remaja. Kalau nak panjat gunung
pun boleh sangat (padahal tangan dok mengurut lembut lutut yang berdenyut)
Raya
Bukanlah lama sangat rasanya tak
balik ke kampung tapi kali ni rasa sedikit hiba. Ada sahaja lalu-lalang bila
mengembara dek kerja. Mungkin Hari Raya itu ada membawa realitinya sendiri. A pocket
dimension for you to contemplate on things. Banyak sangat perubahan yang
dah berlaku. Traffic jam, outlet-outlet di bandar besar dah ada di pekan, malas nak tapau dari kedai kopi? Grabkan sahaja; Penyakit bandar dah menular ke pekan-pekan
kecil. Small town charm wearing thin. Rumah-rumah kampung tinggal dipanjat tumbuhan
menjalar, bersih cuma kalau masih ada yang ingat jalan pulang. Yang tinggal cuma
hantu-hantu, tikus dan serangga dan ingatan terpahat dikayu dan batuan rumah.
Bonda depan rumah ditukar menjadi
longkang. Selalu kering katanya, walhal dulu penuh ikan dan udang air tawar. Pepohon manggis dan rambutan rimbun habis ditebang.
Iyalah, bila ada yang buat harta
bersama macam harta sendiri punya, apa lagi nak dikata.
Makcik yang dulu gagah sekarang letih
bertongkat. Pakcik yang gemar buat dad joke masih lagi berbuat yang sama
dicelah-celah ceritanya yang berulang-ulang dan berulang-ulang, mungkin petanda
awal nyanyuk menyelinap. Makin lama makin kurang yang pulang ke kampung. Sudah dijemput
pulang ke Alam Abadi atau sudah menjadi GrandMaster atau Pater Familias klan
sendiri, punya kampung sendiri.
Yang pasti rambut mereka tiada yang hitam, kelabu jauh sekali. Putih semata semuanya. Masa dan takdir mengejar sentiasa. Everyone is so old now.
Melawan masa dan takdir itu cerita paling tua dalam dunia. Tak kira zaman akan ada iteration atau medium nya. Epik Gilgamesh. Maharaja Qin Shi Huang Di yang galak menelan pil-pil raksa kerana nak hidup selamanya atas nasihat tabib (barangkali antara kes terawal medical negligence). Filem-filem Hollywood yang mana hero-hero aksi old skool yang sudah secara berjemaah bikin filem untuk kekal relevan di zaman CGI kaw-kaw (Francais Expendables), penulisan Sir Terry Pratchett: The Last Hero tentang Ghenghiz Cohen si hero tua ganyut dengan Silver Hordenya yang mau melawan dewa-dewa kerana enggan menua.
Bukan semua
boleh menerima usia, bukan semua dapat berkawan dengan takdir.
Tadi
Hampir seharian aku dengan kawan di atas jalan. Jauhnya tidaklah jugak tapi penatnya bukan main lagi, walaupun bukan aku yang memandu. Semuanya demi mengejar lead berpotensi bagi satu kes general litigation di luar bandar. Cerita awalnya macam boleh ke Mahkamah Tinggi, pasang caveat dan berbagai lagi moves dan counter moves yang mungkin boleh digunapakai bagi kes berebut tanah.
Sesampainya di sana, bercerita tentang kes hanya setengah jam. Selebihnya dok mendengar si polan bercerita pasal dirinya. Biasalah, bila umur menjangkau 60-an (bukan aku, aku muda lagi) ada saja nasihat ingin diberi, ada saja cerita nak disampai. Hinggakan terdetik dalam hati; mereka laki bini ini sunyi.
Rumahnya besar, biliknya banyak tapi sepi. Tinggal hanya berdua suami isteri. Anak-anak sudah besar panjang. Tiada pula yang pulang menjenguk. Betul jangkaan aku: lagaknya seolah-olah tak mahu kami pulang. Habis secawan teh disuruh bertambah berkali. Habis sekeping kek disuanya lagi. Memang kedatangan kami beriya-iya dirai. Hinggakan bila benar-benar kami perlu pulang demi mengelak jalan masuk ke Kuala Lumpur sesak (tambahan lagi dengan Si Xi Jinping datang bertandang), diulang beberapa kali: nanti datang lagi, bawa anak dan isteri. Like I said, sunyi. Harapnya jangan jadi pada aku dan isteri nanti saat mata pun naik kelabu dan bila rambut hitam menjadi putih.
No comments:
Post a Comment