Abah


Salah satu perkara yang selalu diulang Abah adalah anak-anaknya tak ada seorang pun yang buat technical line macam dia. Bukan apa, tiga-tiga tak ada bakat dengan nombor dan pengiraan. Ada lah cuba jugak. Seorang sekolah sains, sorang lagi ambik aliran sains masa sekolah menengah dulu. Dia pernah cuba tolong aku dengan kerja rumah kimia. Tak ubah macam itik mengajar ayam terbang. Dia belajar Applied Chemistry, aku belajar Kimia. Dia kira molarity, aku kira-kira bila siksa pengiraan durjana ni akan berakhir sebab nak sambung main game pasal aku masa tu tengah main balik kesemua francais Half-Life.

Dia bukan bapa yang paling sempurna. Kadang-kala ada tersalah langkah. Ada kelemahan dan kekurangannya, macam aku, macam kau. Macam kita semua. Tapi tak kira apa cacat celanya tiada apa yang boleh mengubah fakta bahawa Abah adalah bapa aku. Banyak benda yang aku belajar dan ambil pengajaran. Apa yang patut dibuat dan apa yang aku tak patut ikut. Dia ajar aku apekebende molarity itu di luar kereta sambil berdiri dengan buku terletak di atas but kereta. Kami diluar rumah nenek. Pada waktu itu, rumah nenek sudah tertutup pada Abah.

Dia juga ajar aku dengar Pink Floyd, Deep Purple dan Queen. Dia memulakan perjalanan abang aku ke arah musik instrumental dengan Mike Oldfield dan loceng-loceng tiubnya. Ajar kami hargai bunyi berkualiti melalui sound system yang dia bina sendiri sikit demi sedikit dengan amplifier dan segala mak nenek speaker dalam bilik yang turut menjadi tempat kami sekeluarga solat berjemaah. Selesai menyembah Tuhan, musik sedap mula beralun. Nasib baik jiran tak panggil Polis.

Benda paling seronok tengok adalah bila dia bawak keluar tools dia dan mula memasang atau membuka benda di keliling rumah. Tapi bila dia bawak keluar Swiss Army Knife dia tu itu paling ultimate. Paling cool, Macgyver level of cool. Bila bawak keluar je memang aku automatik ada kat sebelah dia. Tengok dia buat apa. Kejap bukak/pasang skru, kejap potong wayar. Ada jelah benda dia buat dengan Swiss Army Knife dia tu. Bila dia takda, aku yang ganti dia jadi handyman keliling rumah.

Aku membaca sebab bermula dengan menyelak koleksi National Geographic Abah dan Mak langgan masa baru kahwin dulu. Aku mula membaca fiksyen Inggeris bila tergerak hati untuk ambik satu paperback Abah dari menara-menara paperback Abah yang ada di rumah pada waktu itu. Habis terkepak-kepak spine buku-buku dia. Tapi dia tak marah pun. Diam-diam memerhati agaknya. Bila dia tahu aku mula menulis, dia memberi dorongan dan kata semangat. Dia cakap: What other people think of you is not important, what you think of yourself is and if Law is not working out for you, you can always do creative writing. Bahagian pertama itu benda yang aku pegang sampai sekarang. Bahagian kedua tu, on hold. I really want lawyering to work out first before diving head first into creative..thing.

Aku membesar dengan dengar cerita dia panjat cerobong asap refinery pastu jumpa hantu tengah bertenggek (boleh jadi Jin tengah dinner) di puncak, teman dia buat kerja di pejabat lengang pada hari Sabtu, cuba pakai but Redwing lusuh dan hard hat dia yang ada di rumah pada waktu sambil berangan untuk jadi Oilman macam dia. To suck on the tits of Big Oil. Konon glamour lah. Tapi Hidup yang pegang remote control. Kita cuma boleh tengok apa saluran yang diberi. Paling dekat pun dulu hampir apply jadi eksekutif perundangan di Baker Hughes.

Hari aku long call dia berikan kepada aku sebagai hadiah satu koleksi cerpen John Grisham sebab dia tau aku pun gila buku dan juga hidup aku mungkin akan jadi dramatik macam cerita John Grisham. Ada lah drama tapi nothing worthy of a book. At least not yet. Mungkin satu hari nanti.

Bila anak sulung aku yang baru dapat kaki pada waktu itu terus berlari ke arah Abah dan mendongak minta didukung dan seronok diam didukung tak lepas aku boleh nampak mata Abah berkaca. Dari Abah dah naik pangkat ke Grand Abah. Aku pun pandang keliling, cari ninja mana yang potong bawang sebab mata aku pun pedih. Mungkin satu hari nanti aku akan rasa benda yang sama bila cucu datang berlari, mendongak minta didukung.

Kalau umur aku panjang lah.


Macam aku cakap, dia tak sempurna. A man with a man’s problems. Tapi dia Abah aku.


Thank you Abah, for everything.



Comments

Popular Posts