Jatuh/Bangun


Bangun pagi ini seluruh badan rasa lenguh dan sengal.



Malam semalam penutup minggu sukan anak aku yang sulung. Sepanjang minggu ada acara sukan berjalan sewaktu waktu persekolahan. Penutup dan pemberian pingat dibuat pada waktu malam hari kerana hari siangnya kan umpama macam duduk dalam ketuhar. Ini untuk mengelakkan strok haba dan bermacam lagi simptom dunia yang demam. Ya, dunia demam, kita yang kepanasan. Climate change is real. Anyway, Macam acara penutup sukan yang lain ada lah perbarisan masuk dan lain-lain.



Acara dibuat di dalam dewan salah sebuah stadium di Shah Alam. Aku ada nampak floodlights untuk padang bola di luar stadium dan track terpasang jadi pasti ada acara lain di padang bola. Sambil memerhati kebingitan mak bapak yang sibuk berteriakan dan melambai kepada anak-anak masing-masing dan ibu bapa yang lain aku mengipas-gipas diri. Ada aliran udara dalam dewan tapi tak cukup banyak untuk membasmi panas dan peluh.



Aku tak lama dalam dewan. Si Bongsu yang masih belum bersekolah mengadu lapar jadi aku bawa dia keluar mencari benda yang boleh dikunyah. Yang Sulung menyertai perbarisan jadi dia duduk bersama rumah sukannya di gelanggang sehingga perbarisan tamat. Acara futsal bagi tahapnya telahpun selesai sebelum malam penutup jadi aku tidak ada insentif untuk betul-betul duduk di dalam dewan dan mengikuti acara. Orang Rumah pula duduk di tempat duduk sambil melihat perjalanan acara dan seperti ibu-ibu yang lain, mengambil gambar. 



Terbenamnya matahari masih belum dapat menghilangkan bahang siang hari. Sesekali ada angin bertiup malas yang menghilangkan sengsara dan lekit peluh. Kebetulan MC ada umumkan ada ais krim stand yang ditaja jadi sesiapa yang berminat boleh beratur di pintu masuk utama dewan. Turun sahaja dari tangga dewan si Bongsu menarik tangan aku ke ice cream stand. Kami kemudiannya berjalan berpegangan tangan sambil si Bongsu makan ais krim vanilla dan bercerita itu ini pada aku. Dua kali kami ke ais krim stand sebelum masuk semula ke dewan. Ada perlawanan futsal final darjah berapa aku tak pasti. Geng bapak yang tadi semuanya duduk diam control macho mulai berteriak melihat pemain bergolek berebut bola dan cubaan demi cubaan untuk membolos gol lawan.



Sekali lagi si Bongsu mengusap perut dan membuat muka seposen kepada aku. Keluar sekali lagi, turun tangga sekali lagi, berjalan-jalan sekali lagi. Itu bukan kali terakhir. Selepas beberapa kali (aku rasa ada dekat 5-6 kali) kami keluar dan masuk dewan aku terfikir sebenarnya bukannya sebab si Bongsu lapar sangat pun tapi nak berjalan-jalan dan keluar dari dewan yang tak cukup berangin. Jadi kami berjalan-jalan di kalangan food truck yang ada. Ais krim percuma sudah habis pada waktu itu jadi kami berjalan mencari kedai yang menjual ais krim atau galang ganti yang setara. Terjumpa satu kedai yang menjual ais krim perisa 100 Plus. Perisa pelik tapi boleh lah daripada langsung tak ada. Kali ini aku turut serta menghirup dan memamah ais krim.



Sambil berjalan itu kami menghala ke padang bola dan trek balapan di mana satu perlawanan bola sepak sedang berlangsung. Kami duduk di bleachers sambil memerhati perlawanan seketika sebelum si Bongsu tiba-tiba bingkas bangun dan berkata kepada aku: Abah, hold my ice cream, seraya menghulur aiskrim 100 plusnya kepada aku. Mencicit dia lari turun tangga bleachers sebelum ke track balapan. Rupanya dia sudah ternampak sekumpulan kanak-kanak yang lebih tua sedang berlari-lari di trek. Si Bongsu terkedek-kedek berlari mula-mula perlahan tapi makin lama makin laju. Tak terkejar aku yang terhincut-hincut (buku lali kiri buat hal) berjalan pantas walaupun si Bongsu ada berhenti sekejap ambil nafas. 


Di kejauhan ternampak dia jatuh gedebuk tergolek seketika diselekoh sebelum bangun menepuk debu dibadan dan sambung berlari semula. Bila dari jauh segalanya nampak dalam mod perlahan. Dalam kepala aku lagu Also sprach Zarathustra mula bermain bila dia menggagahkan diri bangun dari sembam, menepuk-nepuk membersih debu dan mula kembali berlari dan berlari, berlari dan terus berlari dengan bersemangat. Seolah-olah macam tak pernah terjatuh pun. Mengagumkan!. Well, untuk aku lah. Orang lain mungkin nampak benda lain. 


Anyway,


Sampai dua lap dia buat keliling trek sebelum berhenti bila nampak ada sekumpulan budak perempuan yang duduk di tepi trek balapan.



Bila aku sampai ke kumpulan budak perempuan (yang aku kira peringkat sekolah menengah), si Bongsu tengah memulakan sales pitch dia. Nama dan entah apa lagi yang aku tak berapa dengar tetapi pastinya sesuatu yang kelakar kerana berderai ketawa budak-budak perempuan tersebut. Aku datang mendekat dan senyum apologetic sebelum mengajak dia pergi mencari air untuk diminum. Aku hulur ais krim 100 plus yang telah cair (nasib baik dalam tiub) dan tanya: I saw that you fell down just now. Are you okay?  I am okay dia balas lepas hirup aiskrim 100 plus cair. Aku periksa juga kalau ada luka atau apa-apa. Tak ada. Does it hurt?, aku tanya lagi. A little bit. But I am okay, dia balas sebelum tarik tangan aku pegi ke vending machine. Aku memandang dia dengan kagum. Macam Ford Ranger; Built tough.



Tak lama lepas tu kami masuk semula ke dewan bagi penyampaian pingat. Si Sulung diberikan pingat bagi tempat kedua acara futsal. Terpancar kebanggaan diwajahnya bila dikalungkan pingat. Orang rumah dan aku mengambil giliran untuk peluk cium, bergambar, kata kami bangga dengan dia. Words and deeds. Penting tu, aku pesan pada diri. Lain acara, aku tak ambil pusing. 


Lama juga kami di sana. Hampir tengah malam baru pulang ke rumah. Sepanjang pemanduan pulang ke rumah aku dok teringat-ingat insiden si Bongsu jatuh tergolek dan bangun semula tu. Benda yang kita selalu buat masa kecil tapi acap kali lupa bila dewasa. Bangun semula bila jatuh. Selalu kalau dah besar ni kalau jatuh akan ada seribu satu alasan untuk terus terduduk atau tersembam. Padahal bendanya paling semula jadinya sampai budak pun tahu, adalah untuk bangun balik lepas jatuh. Macam kata Aman Ra: jatuh sekali aku bangun 3 kali. Macam kata Malcolm X dalam biografi beliau:



‘’Children have a lesson adults should learn, to not be ashamed of failing, but to get up and try again. Most of us adults are so afraid, so cautious, so 'safe', and therefore so shrinking and rigid and afraid that it is why so many humans fail. Most middle-aged adults have resigned themselves to failure"



Bangun lepas jatuh dan terus berlari, berjalan, merangkak, mengengsot. Tak kira. Terus bergerak. Terus ke hadapan dan terus melawan.


Bangun! 


Comments

Popular Posts