It’s Not For You


Hari dah lewat petang bila aku baru balik dari berjalan keliling kawasan taman. Teringat pada dua orang hero yang ada di tingkat bawah rumah. Aku turun ke tingkat bawah dan sapa dengan suara yang kuat; tanya ada sesiapa nak ikut pegi Petronas tak? Aku tanya kerana mereka seperti kanak-kanak lain nampak lebih mudah untuk pick up idea seperti consumerism dan ownership dari konsep seperti berkongsi. Kebiasaannya kalau ke Petronas nak beli itu ini, selalunya jajan. Di dalam bilik TV si Sulung sedang memicit-micit remote control memilih filem Ultraman mana pula dia nak tonton. Salah satu pilihan adalah Ultraman X. Jadi Si Sulung pun mula bercakap tentang filem Ultraman X.


-Abah, I’ve seen Ultraman X, it’s not for you kata si Sulung dengan muka serius merenung skrin TV.


-It’s not for me? Tanya aku kehairanan.


-Ya, its not for you. It’s violent.


Tiba-tiba si Bongsu yang tengah bermain dengan set Lego menyahut dari luar bilik TV, is it for me?


Aku sengih je dengar dan lihat gelagat dua beradik ni.


It’s not for you adalah ayat yang biasa aku gunakan bila dua beradik ni nak tengok cerita-cerita yang aku anggap mempunyai aksi-aksi belasah-membelasah yang melampau atau ada guna bahasa kesat (ironinya, Mak pernah cakap dengan aku dulu kalau nak belajar satu bahasa ni cara paling mudah adalah belajar menyumpah dalam bahasa yang hendak dipelajari tu). Jadi bila kena balik pada aku memang kelakar lah. Selalunya aku yang jadi LPF (Lembaga Penapisan Filem) untuk dua beradik ni. Si Sulung mungkin betul. Ultraman pun bukan macam waktu aku kecik-kecik dulu. Dulu straight forward, raksasa datang jahanamkan sebahagian dari bandar Tokyo, Ultraman datang, bergaduh sekejap dan jahanamkan sebahagian lagi bandar Tokyo (seronok la pemaju-pemaju Jepun). Kalau kuat sangat raksasa lampu di dada Ultraman pun blinking dan Ultraman pun kena belasah dan terus dibelasah sampailah abangnya datang menyelamatkan keadaan. Plot lebih kurang sama setiap episod, cuma raksasa yang berubah. Sekarang Ultraman pun dah ada subplot fallen hero (Ultraman Belial).


Aku tak suka jadi LPF. Sebab dua tiga kali kena balik batang hidung sendiri. Pernah satu ketika aku sedang memandu dengan si Sulung dalam kereta bila ada satu pemandu mangkuk tiba-tiba masuk jalan aku tanpa memberikan isyarat jadi aku secara automatik terkeluar perkataan Idiot. Tiba-tiba terdengar si Sulung menyampuk dari seat belakang: Abahhh, language!. Jadi aku pun minta maaf sambil dalam hati nak tergelak. Sebagai bapak memang tanggungjawab aku untuk membentuk akhlak si dua beradik ni tapi banyak kali juga terfikir, siapa la aku nak jadi polis moral bila aku sendiri pun bukan selalu beradab, bukan semua betul. Bapak ketam mengajar anak-anaknya berjalan lurus.


Kalau aku pun tak selalu betul apatah lagi badan yang bernama LPF yang bertugas seperti makpak yang kata pada kita rakyat yang masih lagi dianggap kanak-kanak tanpa mengira peringkat umur: This is not for you. Ada masanya memang perlu kawalan ada tapisan. Terutamanya bila melibatkan kanak-kanak yang mindanya macam span, senang terikut-ikut. Tapi kena ikut situasi jugak la. Dulu ada satu masa lagu intro Power Rangers tu bila tang Morphin’ tu dibleepkan atau disenyapkan sebab katanya ada aduan, mangkuk mana tulis surat kata takut anak dia terinspirasi untuk guna dadah Morphine bila dengar lagu intro Power Rangers. Aku sekolah rendah lagi rasanya masa tu. Ingat lagi Abah bising pasal benda ni, cakap bukan boleh beli Morphine dekat kedai runcit pun. Aku masa tu pegi kedai Pak Cik Alias pun paling merapu pun beli gula-gula uncang yang meletup-letup dalam mulut tu. Tak ingat apa nama dia. Tak ada pulak terfikir nak tanya dengan Pak Cik Alias tu ada jual Morphine ke tak.


Cerita tapis menapis dah ada dari zaman dulu lagi. Plato dalam The Republic cukup jaki dengan Homer (Bukan bapak Bart) dan para penyair. Kata Plato penyair seperti Homer dan tulisan-tulisan dia tak ada tempat dalam republik utopian yang Plato mahu bina kerana bagi dia, penyair ni memberi pengaruh buruk kepada masyarakat. Kalau pun ada syair dan penyair dalam republik Plato tu, mereka akan ditapis dan dikawal dengan ketat supaya hanya syair-syair yang membina dan mengukuhkan moral sahaja yang akan dibenarkan. Itu ikut Plato la. Aku terasa nak kata Plato ni missing the point, yang dia lupa bahawa art imitates life tapi masa yang sama, betul jugak dia cakap. Menurut Plato, penyair melalui cerita dan syair-syair meletakkan batu asas moral sesebuah masyarakat. Bila ada dewa-dewi, hero dan heroin (bukan...nevermind) yang penuh dengan emosi dan perangai tak semenggah dalam cerita/ syair kau, sebagai contoh: Achilles yang barai, jantan berlagak diva. Kalau semua pemuda Yunani ikut perangai dia, naya Pak Karim ooi..


Jadi, bila kau ni penglipurlara, apa kau cakap orang akan dengar, akan ikut. Jadi sebagai penyair kau ada peranan untuk membina atau memusnah sesebuah masyarakat melalui syair kau. Besar peranan. Kalau tak masakan Jose Marti penyair, penulis, filusuh dan lain-lain di angkat jadi hero kebangsaan Cuba atau Vaclav Havel si penulis boleh jadi president pertama Czechoslovakia pasca Kesatuan Soviet. Dulu syair dan penulisan lah, sekarang boleh jadi video di Youtube, Tik-tok, IG. Itupun kalau kau ramai subscriber/follower la.


Perlu tapisan? Ya. Terutamanya penggunaan internet dan media sosial tapi untuk kanak-kanak hingga ke umur 18 tahun (sebenarnya, budak budak tak perlu ada media sosial. Nak bersosial pegi main kat luar rumah. Asal jangan pegi tempat tak elok). Sebab pada tempoh ni minda masih lagi macam span, senang terikut-ikut apa yang didengar dan dilihat dan dibaca. Senang digula-gulakan. Tetapi, apa-apa tapisan bagi peringkat selepas dari umur 18 itu boleh dipersoalkan; kau nak bina moral ke kau nak kawal pemikiran? Garis pembahagi sangat nipis tapi kedua-duanya memang ada perbezaan. Tak boleh lah selama-lamanya kau layan anak kau sebagai budak-budak sepertimana kau tak boleh selama-lamanya layan rakyat jelata ni umpama budak yang tak pernah membesar. Kau bukan Peter Pan dan ini bukan Neverland.


Kena bagi asas yang kukuh, ajar baik buruk, punca dan kesan. Lepas tu bagi juga peluang untuk berfikir sendiri tanpa disuruh kerana akan tiba masa dan ketikanya bila mereka akan perlu menilai apa yang mereka lihat, dengar dan alami sendiri dan konklusi mereka dapat mungkin tak sama dengan konklusi kau tapi, selagi mereka berfikir dan boleh berhujah menyokong pendapat mereka, aku rasa tugas kau dah selesai. Kau dah membesarkan manusia/rakyat yang boleh berfikir, bukan bebiri menanti sembelihan. Selebihnya bergantung pada mereka.


Kalau semua cerita tentang manusia baik-baik belaka sahaja kebarangkalian terbitnya anak-anak dan rakyat yang baik tu tinggi tapi kita tidak hidup dalam vacuum. Ada pelbagai jenis manusia. Ada yang baik, ada yang jahat. Ada pelbagai perangai dan gelagat dan paling penting ada seribu satu cerita di luar sana, kerana kita tidak hidup di dunia yang ideal. Kita yang kena bina dunia ideal. Kita tak boleh buat tembok tinggi bagi mengepung minda kita atau tembok api teragung ala PRC bagi mengurung Internet. Apa yang boleh kita buat adalah membuat persediaan kepada anak-anak/rakyat untuk mereka menghadapi realiti bahawa dunia ideal itu masih under construction. Bagi mereka peluang untuk menilai sama ada sesuatu idea atau benda itu untuk mereka atau tidak tanpa perlu kita kata: It’s not for you.



Comments

Popular Posts