Talking With the Dead

Zeno, si bapa Stoicism pernah ke Delphi untuk berjumpa si Oracle untuk menilik masa depannya. Si Oracle ini bukan si nenek berbangsa Afrika baik hati yang menawarkan biskut cip cokelat panas kepada insan terpilih dan melatih kanak-kanak psikik yang boleh membengkok sudu umpama Uri Geller. Bukan yang itu. Ini Oracle, the OG, yang tulen dari zaman klasikal Yunani.

Menurut ceritanya jalan menuju masuk ke tempat si Oracle pun makin lama makin rasa umpama ke alam lain, kuilnya pun di lereng gunung tinggi lengkap asap-asap sulfurik yang berkepul-kepul. Boleh jadi itu sebab kenapa si Oracle ini boleh meramal masa depan. Kepala penuh asap. Anyway, Zeno tanya pada si Oracle macam mana nak hidup bahagia. Si Oracle kata pada Zeno; Hidup kau akan bahagia bila kau mula bercakap dengan orang yang sudah mati. Ini, sudah tentu satu rendisi tanpa segala drama. Boleh jadi sebelum bercakap ni si Oracle sedut asap apa yang patut, makan dulu analog kepada pulut kuning dan ayam panggang di Yunani purba, guna tandas terlebih dahulu, mungkin menari-nari sikit nak tunjuk dapat inspirasi dari Apollo, mandi bersihkan peluh kemudian barulah menurun bagi ramalan. Aku rasa lah. Aku mana tau.

Adat ramalan memang boleh ditakrifkan dari pelbagai sudut, samar. Tapi nak dijadikan cerita satu hari kapal dagang si Zeno karam di lautan dengan segala kekayaannya. Zeno terselamat tapi jatuh miskin. Zeno mengembara hingga sampai ke Athens dan tempat pertama yang dia sampai di Athens adalah sebuah kedai buku. Dia tergerak hati untuk ambil dan baca sebuah buku yang menceritakan pasal Socrates. Baca punya baca, Zeno kagum dengan pembacaannya mengenai Socrates yang pada waktu itu dah lama mati. Dia tanya tuan punya kedai, kat mana boleh jumpa orang macam Socrates? Tuan kedai tunding jari ke luar kedai pada seorang mamat yang tengah berjalan. Tu ada sorang kata tuan punya kedai. Mamat tersebut adalah Crates, anak murid Diogenes si filusuf gelandangan. The rest is history or should I say, the rest is philosophy.

Aku bayangkan ada Oooo panjang dari Zeno bila dia fikirkan balik ramalan si Oracle. Cakap jelah suruh membaca. Kan lagi senang.

Tugas aku memang memerlukan aku untuk membaca untuk terus relevan. Baca kes, baca buku, rujuk peruntukkan undang-undang. Memang kena buat. Kalau mengamal undang-undang tapi malas membaca umpama peninju malas melatih dengan skipping rope, askar tak ke lapang sasar. Pendek cerita, mengamal undang-undang pastu tak membaca adalah satu kegilaan yang mengundang saman cuai. Undang-undang sentiasa berubah, akan sentiasa ada kes baru atau perkembangan baru yang mengubah satu prinsip perundangan atau undang-undang itu sendiri. Macam semalam, kawan-kawan pengamal ada kongsi di WhatsApp yang Solicitor’s Remuneration Order 2023 (SRO 2023) dah keluar, akan berkuatkuasa hari Sabtu ni. Para peguam hartanah boleh senyum sikit kerana fee guaman dah naik sikit sebab memang diperuntukkan dalam SRO 2023 ni.

Membaca ini adalah satu perkara yang ada sesetengah orang pandang enteng. Bukan asal boleh menulis dan membaca dah lengkap pembangunan insaniah kau. Boleh membaca dan mengamalkan tabiat membaca adalah dua perkara yang berbeza. Ada seorang jeneral Amerika bernama Jim Mattis tulis dalam buku dia Call Sign Chaos; kalau kau tak membaca ratusan buku kau sebenarnya adalah buta huruf, dan kau tak cekap dalam bidang kau kerana pengalaman kau seorang sendiri tidak mencukupi. Bak kata si Oracle, kau kena bercakap dengan orang mati. Mendalami pengalaman jatuh bangun mereka, elak kesalahan mereka, amal kan amalan baik mereka. Ambil pengajaran. Tak perlu kau pelajari dari kesalahan/ kesilapan kau sendiri sebab kau dah belajar dari kesilapan orang lain. Pilih satu bidang, kebarangkalian ada buku ditulis oleh mengenainya atau oleh pengamalnya sangat tinggi. Kalau kau membaca, minda insan-insan ini boleh kau dalami. Banyak kau boleh pelajari. Lagi banyak kau membaca, lagi banyak kehidupan mereka yang dah mati atau masih lagi hidup yang boleh kau dalami. Tapi bila kau boleh membaca tapi pilih untuk tidak membaca, pintu kepada minda-minda ini tertutup rapat buat kau.

Kembali kepada mengamal undang-undang. Tanggungjawab seorang pengamal ni memerlukan kau untuk mewakili orang awam dengan kompeten. Jadi kalau kau tak membaca, macam mana kau nak kata kau pengamal yang kompeten bila kedudukkan undang-undang itu sentiasa berubah-ubah dan kau malas membaca, malas ambil tahu?

Kalau kau seorang Muslim, Surah Al Alaq, Ayat pertama yang diturunkan pada Nabi Muhammad S.A.W suruh kita membaca. Persoalannya kau membaca ke tak?

Sepanjang hidup aku setakat ni aku tak pernah ada passport. Paling kuat pun passport berkumpulan masa pegi percutian firma waktu latihan dalam kamar dulu. Tapi dalam minda aku, aku dah mengembara ke serata Middle Earth, Bas-Lag, Benua Eropah waktu zaman Napoleonik, bandar Chicago, perdalaman Papua New Guinea dan lain-lain tempat dan berjumpa pelbagai jenis manusia dan bangsa sentien. Cuma passport je tak di chop. Memang merata kau akan berjalan dalam minda bila membaca dan kau takkan keseorangan bila ada buku. Bab kosa kata kau makin bertambah tak payah ceritalah. Memang akan berlaku bila kau mengamalkan tabiat membaca. Nanti lama-kelamaan akan datang rasa seronok membaca tu.

Pada dasarnya setiap buku adalah satu bentuk penceritaan. Cuma isi kandungan je berbeza. Buku manual teknikal, buku cerita, buku biografi, buku bukan fiksyen. Kalau kau jenis yang membaca Beautiful Nara untuk gosip artis sahaja tak mengapa. Yang penting jangan kekal baca Beautiful Nara sahaja, upgrade kepada baca biografi artis-artis. Anggap biografi artis tu gosip versi panjang artis tersebut. Setakat ni aku tak tau kalau ada artis Malaysia yang dah tulis biografi. Mungkin ada. Jadi yang banyaknya biografi artis-artis barat. Kalau bukan biografi artis ada juga biografi ahli sukan. Bersepah di Bookxcess. Yang penting kena upgrade, jangan kekal di takuk yang sama. Bangsa yang membaca bangsa perkasa.

Membaca ni tak semestinya membaca buku fizikal (walaupun sebenarnya buku fizikal ni lagi syiok) kat Shopee pun ada jual buku-buku dalam format digital. Kalau tak di Shopee ada je banyak laman web yang mana kau boleh beli atau pinjam buku-buku versi digital macam Internet Archives. Buku-buku lama pun ada di sana. Kalau kau poyo, boleh beli Kindle untuk baca buku. Tapi tak perlu pun. Telefon pintar dengan skrin bersaiz besar pun dah cukup. Sememangnya tak ada alasan langsung di waktu dan zaman ini untuk kau tidak membaca. Semuanya di hujung jari. Nak atau tak sahaja.

Jangan di risau mereka yang kutuk kau jadi nerd ke apa sebab membaca. Tak mati pun kena kutuk. Lagipun, itu semua kutukan orang yang nak kau kekal ditempat yang sama, yang tak nak kau lagi maju dari mereka. Pedulikan. Kalau banyak mulut sangat kau boleh kata:

Aku bukan membaca, aku bercakap dengan orang mati.


Comments

Popular Posts