Jah Work

Aku teringat satu scene dari cerita Enemy at the Gates bilamana sewaktu itu Battle of Stalingrad masih lagi tengah berlangsung dan tentera Kesatuan Soviet tengah teruk dibantai tentera Nazi Jerman. Teruk tapi belum betul-betul kalah. Dalam satu bunker, pemerintah tertinggi teater tersebut (aku tak ingat nama) sedang disekolahkan oleh Nikita Kruschev untuk dapatkan penjelasan kenapa tentera Soviet yang patriotik hampir lunyai dikerjakan konco-konco si Hitler di gelanggang sendiri. Si pemerintah tertinggi itu(masih tak ingat nama dia) bagi alasan sambil meneguk vodka dengan kecewa: they have tanks, they have artillery, they have airplanes. What do we have?


The sacred duty to resist! Bentak si Nikita kegeraman.


Then of course in the best traditions of the Soviet Red Army, pemerintah tertinggi tersebut dijemput untuk memendekkan perjalanan sistem kehakiman tentera dengan Tula-Tokarev 33 beliau. Terus skip inquiry dan banyak langkah lain. Mind you ini semua sebelum bermulanya cerita dan cinta tiga segi Ralph Fiennes, Jude Law dan Rachel Weisz yang berlatarbelakangkan Battle of Stalingrad.


Sebenarnya bukan pasal filem Enemy at the Gates atau Rachel Weisz yang ingin aku ketengahkan. Line dari Nikita Khruschev tu yang interesting bagi aku. Aku berfikir dari konteks peranan seorang pengamal undang-undang dalam masyarakat. Lebih spesifik lagi adalah dari konteks sistem kehakiman jenayah. Civil side not as much impactful. You lose your financial standing, lose a house. Material things.


Aku bukan full-fledged buat kes-kes jenayah. Aku ada tolong member-member buat kes jenayah, buat kes-kes YBGK sikit. Sikit-sikit ada lah. Aku masih mencari keberanian untuk terjun head first.


Aku berdaftar dengan YBGK dah lama, sejak tahun 2014. Merata dalam negeri Selangor aku jelajah untuk buat rayuan jamin dan mitigasi. Aku berhenti bila bayaran YBGK menjadi sangat perlahan. Pada waktu itu aku hanya fikirkan tentang duit sebab aku mula berjinak dengan YBGK pun sebab ramai orang cakap boleh buat duit dengan kerja-kerja YBGK ni. Memang betul pun. Siap berebut-rebut nak buat bail and mitigation. Siap yang takda dalam jadual bertugas pun tetiba datang ke Mahkamah, petik nama contact person YBGK Selangor kata dia dah bagi keizinan. Entah ye ke tidak. Kemain nak kejar claim. Itu circa 2014. 2015 onwards aku buat kes-kes sivil dengan sikit-sikit buat MOB kes jenayah untuk kawan-kawan dan kawan kepada kawan.


Bila aku berjumpa dengan guru aku untuk minta nasihat pasal hidup mengamal, dia mula bercakap pasal kes-kes YBGK yang dia ambil untuk perbicaraan penuh. Sambil dengar tu teringat balik yang aku dah lalui 2 latihan kelolaan YBGK bagi rayuan jamin dan mitigasi hukuman. Hati tertanya-tanya apa cerita eh YBGK sekarang? Tak lama lepas tu aku terus lapor diri ke YBGK Kuala Lumpur dan entah cemana mula sertai membantah reman di Jinjang dan Dang Wangi. Bayaran masih lambat seperti dulu-dulu tapi bila dapat tu okay lah. Aku pun buat on-off. Bila betul-betul free baru aku buat. Boleh la buat beli buku sikit. The money is nice tapi aim aku pun dah mulai lain dari waktu aku bermula dulu.


Aku belum cukup lama mengamal dan belum cukup lama aku hidup di dunia ini. Tapi bila aku perhatikan apa yang berlaku dalam lokap reman, apa yang jadi di dalam Mahkamah-mahkamah Jenayah aku mulai faham bahawa banyak pilihan yang di ambil untuk meneruskan kelangsungan hidup dan hidup tak selalunya hitam-putih. Kita juga didodoikan, disuap janji-janji dari iklan tv, radio dan surat khabar yang kononnya suatu hari nanti kita semua akan kaya, berjaya, jadi cantik, jadi kurus. Mungkin ya akan berlaku, mungkin tak. Kebarangkalian itu sentiasa ada, sepertimana ada kebarangkalian yang kita mungkin akan tersilap langkah dan disumbat dalam lokap sewaktu cuba menggapai mimpi dan janji-janji itu tadi. Kadang-kadang bukan salah kita pun, its just life. Sekejap manis dan indah. Sekejap pahit tak tertelan. Satu soalan wajib interview untuk bantah Reman adalah: Family tau tak kena tangkap? Ada sekali tu aku bantah reman di Jinjang. Ada seorang OYDS (Orang Yang Di Syaki) ni bila aku tanya soalan ni dia pandang aku lama, tak cakap apa-apa. Lepas tu dia tunduk pandang lantai. Geleng kepala. Seperti soalan aku tu sangat-sangat berat untuk dia jawab. Dia punya pandang sebelum tunduk tu as if saying: Oh brother where do I even begin. Sampai sekarang aku terkesan. Muda je orangnya, dalam lingkungan awal 20-an lagi.


Aku juga tak menolak kemungkinan ada jugak yang disumbat dalam lokap pasal memang career criminal. Keluar masuk sistem kehakiman jenayah ni macam keluar masuk dapur. Tapi bukan kerja aku nak menghakimi betul salah tindakan kau tu. Itu kerja Tuhan. Kerja Hakim. Way above my pay grade.


Ada yang mengatakan bahawa tugas peguambela dalam sesebuah kes adalah untuk memastikan satu-satu undang-undang itu diaplikasikan dengan betul dan lancar. Sefaham aku pulak, dari lain aspek, tugas mereka yang buat kes-kes jenayah ni adalah untuk appeal to and to remind the humanity of all people involved. Benda macam human error yang dibuat pegawai penyiasat, kecenderungan kita semua untuk pukul rata padahal lain orang lain cerita, kewujudan kualiti seperti belas ihsan yang kita harapkan Hakim ada. Paling penting sekali, untuk ingatkan semua yang ada dalam Mahkamah yang digari dan berdiri dalam kandang pesalah ni juga manusia. Bukan nombor. Bukan KPI. Sebab bila masuk lokap tu individualiti kau pun terus hilang. Kau cuma nombor report balai, nombor seksyen kesalahan, nombor kes. Kau adalah statistik.


Jadi bila aku terbaca cerita Bang Mat lawyer Zamani yang keluar kat The Star semalam yang mana dia tolong seorang makcik India ni yang dituduh curi kotak pensel untuk hadiahkan pada anak dia yang dapat tempat pertama di dalam kelas, benda ni mengingatkan balik pada jawapan klise yang selalu kau dapat bila tanya pelajar jurusan undang-undang kenapa ambik Law: sebab nak tolong orang. Boleh jadi itu memang jawapan ikhlas tapi ungkapan seperti ini jadi klise sebab dunia kita yang makin gila dan sinikal. Kononnya the only value worth having is monetary value. Mana ada orang nak tolong orang sebab ikhlas nak tolong. Semuanya for profit. Cerita Bang Mat menafikan tanggapan itu. Berair jugak mata baca cerita Bang Mat tu. Dia buat the decent thing. Dia layan makcik tu sebagai manusia, bukan sebagai satu transaksi dan makcik tu ingat. Budak tu pun ingat. Benda yang kau rasa biasa-biasa je tapi sebenarnya besar impak dia. Legend Bang Mat ni.


Sama macam lawyer-lawyer YBGK KL dalam group WhatsApp yang aku tetiba dimasukkan. Memang kaki mengomel. Pasal payment lambat, pasal requirement baru YBGK HQ yang mengarut. Pasal tempoh reman yang mengarut. Nak mogok lah. Ada je lah. Memang banyak benda boleh dikomplen pasal YBGK ni. Tapi bila buat duty roster, nama-nama yang sama yang mengomel tadi akan sentiasa ada, without fail. Aku tak rasa diorang ni masih lagi dengan YBGK sebab duit. Kalau nak fees lagi besar lagi baik kau touting. Bela polis, bela orang court. Gadai segala ethics, jadi purely businessman, jaga bottomline, pegi mampus keadilan. Fame? Sapa je lawyer YBGK yang masuk surat khabar? Takde bai. Jadi satu-satunya kesimpulan aku boleh buat adalah diorang ni buat kes-kes YBGK sebab it is the decent thing to do. It is the human thing to do.


Aku buat sebab..err.. nak beli buku. Tapi dengan harapan melalui buku-buku rujukan/teks aku tu dapat menguatkan asas aku supaya boleh tolong siapa yang perlukan bantuan aku. I think. I cannot claim the purity of purpose. I'm not a bleeding saint. Nor can I say I am in it for the money alone.


Sebenarnya tak payah jadi lawyer YBGK pun boleh buat baik. YBGK tu satu medium je. Bang Mat adalah contoh terbaik. Nampak orang dalam kesusahan, takde pengamal mewakili, terus tolong. Tak payah banyak cerita. Ada corridor roamer yang aku kenal dulu ada personal pro bono quota sendiri. Pegi mahkamah Majistret tanya direct dengan jurubahasa takpun Polis, mana OKT takde lawyer dan takde duit, terus jalan. Mitigate as necessary. Bang Mat tu adalah contoh yang kita dapat dengar sekarang ni. A reminder.


Bila kau dah memain peranan memastikan yang tak mampu ada peguam dapat diwakili peguam, sedikit sebanyak kau dah memudahkan urusan mereka yang barangkali hanya akan berputus asa menerima takdir dikunyah-kunyah sistem kehakiman jenayah. Kau dah bagi peluang cerita versi mereka di dengar Mahkamah. Kau dah tolong lawan anggapan salah yang sebati dengan masyarakat kita: kalau kena tangkap mesti ada buat salah. Kau dah imbangkan sikit scale yang selalunya memberat pada pihak Pendakwaan. Mungkin tak banyak tapi at least there is something. Boleh jadi juga sedikit sebanyak dapat disuntik semangat pada yang ditahan, yang dituduh bahawa hidup ni tak semuanya fuck up kalau dah masuk dalam sistem kehakiman jenayah sebab ada yang sedia membantu. Ada yang akan membantu.

Because it is our sacred duty to assist.

Comments

Popular Posts