Seeing the Elephant
Semalam pendengaran pertama aku di Mahkamah Persekutuan melalui Zoom. Aku seperti biasa, jadi counsel demi keterujaan, pengalaman dan sedikit wang. Okay, sebenarnya lebih kepada keterujaan sebab dapat beraksi di Mahkamah Persekutuan. The highest court there is. Mumakil of judiciary. The Elephant.
Persoalan yang ingin dibangkitkan pemohon adalah sama ada Seksyen 347 dan 348 Akta Syarikat 2016 mengubah prinsip asas Derivative Action (‘’DA’’). Walaubagaimanapun, Pemohon terlalu obses dengan fakta bahawa permohonan kebenaran bagi DA telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan sehinggakan persoalan-persoalan yang ditimbulkan pemohon untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan adalah lebih kepada cabaran kepada dapatan-dapatan fakta yang dibuat Mahkamah Tinggi dan bukannya persoalan undang-undang seperti sepatutnya bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Teras utama kes Pemohon adalah berkenaan dakwaan beliau kononnya Pengarah Urusan syarikat X telah membuat Keuntungan Rahsia dengan membuka perniagaan-perniagaan yang bersaing dengan syarikat X sejak dari tahun 2008 lalu telah memungkiri Tugas Fidusiarinya sebagai seorang pengarah Syarikat X. Akan tetapi Syarikat X enggan mengambil sebarang tindakan terhadap si Pengarah Urusan kerana kononnya si Pengarah Urusan ini adalah si penjahat yang sangat berkuasa hinggakan Lembaga Pengarah pun hanya jadi tukang angguk semata-mata bagi semua tindak-tanduk Pengarah Urusan termasuklah tindak-tanduk yang memungkiri Tugas Fidusiarinya. Maka satu permohonan untuk DA telah dibuat oleh Pemohon selaku pemegang syer di dalam Syarikat X untuk memulakan satu tindakan mahkamah terhadap Pengarah Urusan itu tadi. Satu lagi fakta penting, 99% daripada ahli lembaga pengarah dan pemegang saham adalah adik beradik termasuklah si Pemohon dan Pengarah Urusan Syarikat X itu tadi yang sebelum ini pernah juga membawa pergaduhan adik-beradik ini ke Mahkamah dengan satu saman fitnah yang akhirnya didapati tidak berasas.
Oh, lagi satu, si Pengarah Urusan pun dah meletak jawatan dua hari selepas notis statutori diisu oleh Pemohon kepada Responden.
Jadi permohonan bagi kebenaran memulakan DA telah ditolak Mahkamah Tinggi kerana antaralainnya, dah tak ada si pesalah laku yang bermaharajalela menghalang Syarikat X dari memulakan tindakan, nak mulakan DA buat apa pulak. Hakim Mahkamah Tinggi juga mengambil kira kelewatan Pemohon mengambil tindakan dan ketiadaan bukti salah laku Pengarah Urusan tadi dan juga tiadanya bukti kerugian yang dialami Syarikat X akibat tindak-tanduk Pengarah Urusan tadi.
Pemohon antaralainnya mengambil kedudukan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana menggunapakai prinsip common law dalam memutuskan permohonan statutori dibawah Seksyen 348 Akta Syarikat 2016 dengan mengambil kira isu kelewatan sebagai salah satu faktor untuk memutuskan bagi menolak permohonan kebenaran bagi memulakan DA. Ini satu cubaan untuk mengelirukan Mahkamah. Pada Pemohon Common Law DA dan Statutory DA ni dua spesies yang berlainan. Bagi aku ini tak tepat.
Aku umpamakan Common Law DA dan Statutory DA ni umpama nasik putih dan nasik kerabu. Rupa lain lain tapi dua-dua basisnya karbohidrat. Dua-dua wujud untuk bagi kau kenyang. Bezanya Nasik kerabu itu wajib biru warnanya dan ada sayuran cincang dengan lauk-lauknya sendiri.
Di bawah Seksyen 181A dan 181B Akta Syarikat 1965 ada dua jenis DA. Satu dibawah common law dan satu lagi DA statutori dibawah Seksyen 181B yang memerlukan kebenaran Mahkamah sebelum boleh dimulakan. DA dibawah Common Law (Seksyen 181A(3)) tak perlu kebenaran Mahkamah. Seksyen 181A dan 181B ini tadi sama dengan Seksyen 347 dan 348 Akta Syarikat 2016. Cuma Seksyen 347 (3) Akta Syarikat 2016 telah memansuhkan hak untuk memulakan sebarang DA melalui common law. Jadi hanya DA statutori yang memerlukan kebenaran Mahkamah sahaja yang boleh dimulakan selepas tarikh Akta Syarikat 2016 berkuatkuasa.
Seksyen 181A dan 181B Akta Syarikat 1965, Seksyen 347 dan 348 Akta Syarikat 2016 tidak mentakrifkan apa DA itu sendiri. Bagi aku sebab Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 tidak mentakrif apa yang dimaksudkan dengan DA itu adalah kerana berlambak case law yang telah dengan nyata mentakrifkan apa DA itu: pemohon ambil tindakan undang-undang atas nama syarikat sebab syarikat tak nak ambil tindakan pasal ada pelaku salah yang berkuasa dalam syarikat tersebut. Bezanya cuma DA statutori perlu dapat kebenaran Mahkamah terlebih dahulu. DA Common Law tak perlu.
Mengikut pembacaan dan pemahaman aku DA adalah salah satu relif equity. Maka bila melibatkan equity, segala mak nenek maxim (kecuali Hiram Maxim) akan terpakai termasuklah delay defeats equity. Itu sebab kenapa isu kelewatan ini dipandang berat oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan walaupun tidak dinyatakan dengan terang-terang sebab memang terlalu terang dan tak perlu dicakap. Ini pemahaman aku lah.
Untuk mendapat kebenaran Mahkamah bagi memulakan DA stautori di bawah Seksyen 348 (4) Akta Syarikat 2016, pemohon harus memenuhi dua syarat iaitu:
‘’ (a) the complainant is acting in good faith; and
(b) it appears prima facie to be in the best interest of the company that the application for leave be granted. ‘’ (penekanan ditambah)
Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa kelewatan selama hampir 10 tahun memfailkan tindakan telah membuatkan beliau tidak yakin Pemohon bertindak dengan suci hati (good faith) melalui permohonan kebenaran untuk DA itu. Dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi ada rujukan dibuat kepada kes England, Australia, Singapura dan keputusan Mahkamah Rayuan yang merujuk kepada keperluan ‘good faith’ yang perlu dipenuhi bagi DA sebelum Seksyen 348 Akta Syarikat 2016 terpakai (yang sebijik dengan Seksyen 181B (4)(a) Akta Syarikat 1965). [Sila rujuk Nota]
Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa Pemohon tidak mengemukakan bukti yang cukup bagi menyokong dakwaan-dakwaannya berkenaan kemungkiran Tugas Fidusiari yang dilakukan oleh Pengarah Urusan Syarikat X. Tiada bukti juga dikemukakan bagi menunjukkan kerugian yang telah dihadapi oleh Syarikat X berikutan kemungkiran Tugas Fidusiari Pengarah Urusan itu tadi. Bila kedua-dua ni tidak mencukupi macam mana nak melepasi aras prima facie itu sendiri. Permohonan pemohon ni serupa seperti nasik kerabu yang nasiknya tak biru, sayur pun dah layu.
Mahkamah Rayuan cakap apa? Secara pendeknya, Mahkamah Rayuan affirm keputusan Mahkamah Tinggi.
Semua ni nampak cantik atas kertas, tapi bila nombor kes dipanggil (kes pertama dalam senarai) memang rasa gemuruh lain macam walhal aku mewakili Responden je. Nasib baik melalui Zoom.
Aku ingat Yang Amat Arif Hakim Besar Sabah dan Sarawak memulakan acara dengan terus pergi ke Soalan utama ke -4. Seingat aku ada dalam 11 soalan termasuk soalan utama yang ada empat. Soalan utama ke -4 adalah:
‘’Sama ada kelewatan adalah salah satu faktor yang perlu diambil kira dalam permohonan kebenaran dibawah Seksyen 348 Akta Syarikat 2016. ’’
Peguam pemohon rancak cuba menangkis soalan-soalan dari panel. Aku rasa dekat 15 minit juga peguam Pemohon berhujah. Bila peguam pemohon memberi penerangan terus kena; but don’t you think that is a question of fact? Bila aku dengar asakan-demi asakan dari panel aku teringat Fahri pernah cakap dulu, buat question of law untuk Mahkamah Persekutuan ni satu seni, macam menu makanan yang buat kau kecur air liur cuma bezanya yang nak kena kecur air liur tu panel Mahkamah Persekutuan.
Apa yang Mahkamah Persekutuan nak adalah soalan fakta yang ditanyakan dalam bentuk persoalan undang-undang yang memenuhi kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Aku rasa lah. Itu apa yang aku nampak dan perhatikan daripada kes aku semalam dan kes selepasnya yang aku pasang telinga dengar.
Hujahan aku? tak ingat verbatim apa yang aku hujahkan tapi aku ingat yang aku cuba berhujah macam Fahri syorkan. Short and sweet. No fat, no filler. Aku mulakan dengan keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tak dipenuhi, sebab semua persoalan yang ditimbulkan adalah persoalan fakta dan bukan persoalan undang-undang.
Pastu aku hujahkan yang Seksyen 348 itu tadi membuatkan hanya statutory DA yang boleh dimulakan sekarang ni tapi dia masih lagi DA. Seksyen 348 atau mana-mana peruntukkan Akta Syarikat 2016 tak mengubah secara terus ingredients DA itu sendiri. Pastu cakap pasal DA ni masih lagi equitable remedy walaupun ada statutory requirement untuk leave, sebab tu kena penuhi good faith requirement, prima facie for best interest of company and all that. Sebab tu Mahkamah Tinggi putuskan yang kelewatan 10 tahun tu membuatkan good faith permohonan Pemohon boleh disangkal.
Takat tu je aku betul-betul ingat apa aku submit.
Ada benda lain yang aku jawab sebagai balasan kepada apa yang peguam Pemohon timbulkan, aku rasa lah. Aku ingat ada beberapa kali aku tergapai-gapai perkataan yang aku nak guna masa tengah berhujah tu. Filler noise aku sangat banyak. Boleh jadi sebab adrenalin. Boleh jadi sebab tak cukup tidur. Malam sebelumnya aku tidur lambat pasal ada di pejabat rakan pengamal buat prep sampai tengah malam.
Aku ingat panel senyum simpul tengok aku berhujah macam kucing tengok tikus tengah bersilat depan mata. Yang betul-betul aku ingat YAA Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Bin Sebli ada tanya apa requirements DA; aku bagi dia requirements. YA Dato' Sri Hasnah Bt Dato' Mohammed Hashim rujuk pada kes Re Senson Auto Supplies [1987] 1 LNS 110; [1988] 1 MLJ 326 yang dirujuk Mahkamah Rayuan bagi isu kelewatan, YA cakap ini kes oppression kan? Aku kata ya tapi dalam kes tu diputuskan bahawa kelewatan mengambil tindakan dianggap seperti satu persetujuan dengan tindak tanduk yang kini dibantah tu. Jadi same principles still apply to this case. YA Dato' Mary Lim Thiam Suan ada tanya isu delay dengan requirements Seksyen 348 Akta Syarikat 2016 ni Mahkamah Persekutuan pernah putuskan tak, aku jawab tak sebab memang aku baru double confirmkan pagi tu jugak di CLJ dan MLJ tapi soalan itu adalah soalan yang peculiar kepada fact of this case so Mahkamah Persekutuan tak patut entertain. Itu sahaja soalan dari panel.
Aku berhujah tak sampai 10 minit. Aku cuma ikut rentak panel, serang area yang mana panel serang Pemohon. YAA tanya ada benda lain tak nak submit on, aku cakap takde. Peguam pemohon ada nak balas hujahan aku. Panel layan 2-3 minit sebelum terus potong; no no. We have heard from you. Unless there are anything else this Court will stand down for deliberation. Lepas 5 minit camtu terus dapat keputusan. Unanimous, no question of law to be deliberated upon. Leave application dismissed with costs RM 30,000.00.
Fist pump off camera, cakap terima kasih pada panel pastu tutup video dan mic. Aku kemudiannya termenung, tengah cuba proses apa yang terjadi. Memang macam satu cerita VC George dalam buku dia; menang kes tapi tak tau cemana boleh menang. Tapi ada jugak satu perasaan aku tak tau nak ungkapkan dalam kata-kata yang betul.
Paling dekat aku boleh gambarkan adalah bila kau tengah nak ke puncak gunung yang paling tinggi dikalangan gunung-gunung yang bercabang dan kau dah sampai puncak gunung jiran yang paling rendah. Rehat sebentar, kunyah roti disapu sekaya dengan tenang sambil tengok pemandangan sekejap. Pastu tenung puncak tertinggi yang nak dituju, semat dalam hati dan pemikiran bahawa itu tempat yang nak dituju.
Penat? Memang penat. Rasa boleh tido seminggu. Mungkin sebab adrenalin dah habis dicerna. Dulu selepas satu file MOB di Putrajaya aku ada tengok Kamarul Hisham beraksi. Mula di Federal Court, selesai di FC berasap sekejap di luar bangunan Mahkamah pastu pi satu lagi hearing di Court of Appeal pulak. Aku rasa dia balik dari POJ terus tido sebulan kut.
Menung punya menung instructing solicitor call, ajak pegi kedai daun pisang dan janjikan bayaran secepat mungkin (fist pump lagi). Sesampainya di kedai aku nampak gambar dewa Ganesha atas alang pintu kedai tengah senyum. Aku pun senyum balik.
I have seen the elephant.
Apa yang berlaku pagi semalam umpama gajah metaforikal yang buat false charge yang mengegar bumi tapi bila sampai depan aku, gajah tu berhenti dan kenyit mata pada aku. Pastu blah.
Aku dah buat yang terbaik pada waktu itu tapi sentiasa ada ruang untuk ditambahbaik. Banyak yang boleh perhalusi lagi terutamanya dari segi advocacy dan clarity of thought. Pada masa yang sama aku tak sabar menanti peluang untuk berhujah di Mahkamah Persekutuan lagi.
Kali ni, full appeal pulak. Biar gajah metaforikal meluru for real, dengan mendering nyaring umpama trompet perang dan bumi bergegar kuat dan aku?
Aku hanya senyum keterujaan.
Nota.
a) Prudential Assurance Co Ltd v Newman Industries Ltd and others (No 2)[1980] 2 All ER 841 (Court of Appeal (England & Wales))
b) South Johnstone Mill Ltd (ACN 101 695 575) v Dennis and Scales (ACN 004 044987 (2008) 64 ACSR 447 at [67] (Australian Federal Court )
c) Ang Thiam Swee v Low Hian Chor [2013] 2 SLR 340 (Court of Appeal, Singapore)
d) Celcom (M) Bhd v Mohd Shuaib Ishak [2011] 3 MLJ 636 (Court of Appeal, ours)
Comments
Post a Comment