Forever
Bila Francis Light Dan Sultan Kedah menandatangani Perjanjian Kedah-Hindia Timur Inggeris, tukang tulis Sultan Kedah ada menggunapakai ayat selagi ada peredaran cakerawala, Matahari Dan bulan untuk menggambarkan jangka hayat perjanjian yang memajak Pulau Pinang dan Province Wellesley (aka Seberang Perai) kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC). Memang sedap didengar ayatnya, berbunga selayaknya satu dokumen yang dikarang dalam Bahasa Melayu. Tapi kesan perundangannya macam mana pula? Ini pajak ke bagi terus? Aku pun tak tau. Cakap cuba kasi terang.
Tukang tulis Sultan Kedah mungkin
boleh dimaafkan sebab tak fasih dengan undang-undang kontrak dibawah Common Law
tapi Francis Light pun, agak-agak la. Kot ya pun berat benar menggalas beban
orang putih apa lah salahnya ada dibawa barang seorang dua pegawai yang
terlatih dengan undang-undang England pada waktu itu untuk memastikan apa-apa
perjanjian atau kontrak yang dibuat dibuat berdasarkan kedudukkan undang-undang
pada waktu itu. Hal ini bagi aku
menunjukkan betapa pentingnya ada bahagian undang-undang untuk apa-apa
organisasi dan betapa pentingnya rujukan dibuat kepada bahagian undang-undang
sebelum apa-apa kontrak dimasuki atau apa-apa keputusan dibuat. Bukannya bila
tahi dah bersepahan dikisar kipas baru hendak dirujuk legal department.
Kesan klausa Perjanjian Kedah-Hindia Timur Inggeris 1791 tadi itu secara amnya bukan tujuan utama aku tulis kali ini. Tapi menurut mereka yang lebih ahli, apa-apa pun Perjanjian tersebut tidak lagi terpakai apabila Perlembagaan Persekutuan diangkat sebagai undang-undang tertinggi negara ini. Jadi ini bukan kes nasi sudah jadi risotto tapi nasi sudah jadi fossil. Maka niat Kedah untuk menuntut kembali Pulau Pinang itu kekal angan-angan.
Aku tulis tentang perpetual contract
ini kerana perpetual contract ini dan bangsa Melayu berpisah tiada. Bangsa
Inggeris boleh berbangga dengan Magna Carta mereka yang mengubah status raja
England dari raja berkuasa mutlak kepada raja berpelembagaan. Umat Melayu pula
ada Waadat Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba yang membuatkan raja Melayu
Demang Lebar Daun dan cucu keturunannya raja mutlak. Tak panjang pun Waadat ni.
Ada tiga klausa sahaja. Klausa ketiga adalah termination clause. Klausa ketiga
adalah klausa right to rebel sepertimana Clause 61 dalam Magna Carta 1215.
Skeptik mungkin boleh mengatakan bahawa bukan seperti Magna Carta yang datang dalam bentuk dokumen bertulis, Waadat ini tidak tertulis, cuma janji lisan.
Well, oral contract is still a contract, kan?
Waadat Demang Lebar Daun dan Sang
Sapurba ini sefaham aku diikat sebelum zaman negeri Melaka itu bangkit, jadi
ada kebarangkalian bahawa Hang Jebat yang dikatakan mengamuk itu hanya
menegakkan hak (legitimate right) beliau di bawah Waadat tersebut cuma mungkin Jebat
sedikit terbawa-bawa sampai keris keluar dari sarung.
Cerita pasal senjata tajam, teringat
kisah mistik yang kawan aku pernah ceritakan pada aku dahulu. Menurut kawan aku
itu, seperti keluarga Melayu yang lain keluarganya ada jin pendamping yang
tok-nenek moyangnya ada mengikat kontrak untuk menjaga cucu keturunannya
keluarganya dan hartanya. Disamping menjadi body guard, pak guard kebun dan
tanah, pendamping juga menjadi punca kekuatan untuk menebang hutan untuk
dijadikan kebun tanaman. Iyalah, zaman itu mana ada RedBull, tak ada Kevin
Costner menahan peluru. Yang ada cuma jin-jin belaan.
Jin jenis apa tidak diberi tahu pula,
yang diketahui Perjanjian dan terma-terma nya diukir di atas sebuah sundang.
Sundang ini kalau ikut pemahaman aku lebih kepada spesis keris libas membawa ke
pedang daripada keris yang berluk. Aku tak ingat apa yang membuatkan jin
pendamping ini mengamuk boleh jadi tak diberi makan atau sundang tidak dijaga
rapi atau dah tak ada peranan untuk pendamping untuk menjaga keluarga pemegang
kontrak. Yang pastinya ada ahli keluarga yang paling lemah menjadi mangsa.
Sudah lah tua dan sakit-sakit, dikerahnya badan untuk mengangkat tong gas penuh
umpama mahu dibaling dek marah.
Kesudahannya pakar perbomohan
dipanggil, segala ritual mistik dibuat dan satu Perjanjian Tambahan (Supplemental Agreement kiranya ni) dibuat. Terma utamanya, si pendamping ini ditugaskan
untuk menjaga sebatang umbut pisang tanduk yang ditanam nun ditengah hutan. Hanya
bila ianya bercambah dan berbuah, si pendamping bebas dari tanggungjawabnya
menurut Perjanjian Lama. Akan tetapi si bomoh pun bijak juga kerana umbut bukan
sebarang umbut tapi umbut yang dah direbus empuk. Jadi sampai bila-bila pun
takkan tumbuh bercambah, anak cucu pun tak dikacauganggu dek pendamping yang kebosanan.
Dalam kepala aku terbayang si jin masih setia menunggu umbut yang tak
tumbuh-tumbuh kerana jin ini bukan lah satu makhluk yang bijak. Memang tak
bijak.
Pernah jadi di pejabat aku bekerja
dahulu satu insiden kerasukan yang mana kesudahannya si jin itu diyakinkan
untuk meninggalkan si polan yang dirasuk dan berpindah masuk ke dalam sebuah
balang kaca kecil. Jenis yang diguna untuk menyimpan kuih raya. Yang membuatkan
semua kaget adalah bila balang tersebut tidak dijumpai penutupnya. Ustaz yang
mengusir keluar jin dengan selamba kata, tak ada tutup pun tak apa, dia bukan
tahu keluar selagi tak diarahkan keluar. Kesudahannya kami ramai-ramai berkumpul
untuk tengok penampakan jin dalam balang tak bertutup itu sebelum dibawa pulang
oleh ustaz.
Banyak lagi contoh-contoh perpetual
contract seperti Waad si Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang disebut
tadi takpun Social Contract yang disebut-sebut yang memastikan dominasi kaum
Melayu dalam pemerintahan negara ini. Ikut kau nak percaya wujud atau tidak
kontrak sosial ni. Bagi aku, sekurang-kurangnya Waad at Demang Lebar Daun dan
Sang Tribuana itu ada tertulis dalam Sejarah Melayu walaupun Sejarah Melayu itu
sendiri dikategorikan satu dokumen semi-mitos.
Kontrak Sosial? Entah. Siapa
signatory, siapa yang berjanji pun sebenarnya pun kita bukan tahu. Yang
pastinya, sewaktu Pindaan Perlembagaan 1993, Waadat Demang Lebar Daun dan Sang
Sapurba ini ada disebut oleh Shahidan Bin Kassim (Orang kuat Perlis) dalam perbahasan
parlimen bagi pindaan yang mencabut kekebalan Raja-Raja Melayu dari tindakan
undang-undang.
Kalau kau Islam, bila kau solat, Doa
Iftitah juga aku kira satu bentuk perpetual contract yang mana kau
memperbaharui dan mengulangi kembali janji kau yang hanya Allah SWT yang layak
disembah dan akan kau sembah sehingga kau mati.
Dari segi undang-undang kontrak pula
tidak ada sebarang batu penghalang untuk sesebuah kontrak itu untuk berjalan selama-lamanya.
Yang ada adalah anggapan bahawa tak masuk akal dari segi komersil untuk
kedua-dua pihak setuju untuk terikat selamanya. (Lihat: Rapatax (1987) Inc. v.
Cantax Corp., (1997) 196 A.R. 200 (CA), Alberta Court of Appeal)
Sesebuah kontrak itu tidak jatuh
dalam klasifikasi perpetual contract hanya kerana tiada klausa penamatan
kontrak. Memadai dengan notis penamatan bertulis diberikan dalam tempoh masa
yang munasabah. (Lihat: NG CHIN TAI & ANOR v. ANANDA KUMAR KRISHNAN [2019]
10 CLJ 766, Federal Court). Hal ini ada ditulis panjang lebar di sini oleh yang lebih arif.
Kontrak juga tidak jatuh perpetual contract hanya kerana adanya klausa auto-renew seperti mana biasanya kontrak perkhidmatan gym. Nakal ya gym-gym yang ada klausa auto renew ini. Perpetual contract ini juga ada digunakan dalam pasaran matawang krypto. Aku ada cuba baca tapi aku sendiri pun tak faham dengan jargon cryptobros ni. Kalau kau faham pohon terangkan pada aku.
Apa-apa pun bagi aku elok satu kontrak itu ada tempoh
masa terpakainya dan tarikh penamatnya. Segala benda ada penamatnya. Hidup pun
ada penamatnya, inikan pula kontrak. Terma seperti forever, in perpetuity,
selagi ada Peredaran cakerawala, Matahari Dan Bulan ini memang cantik ayatnya
tapi tak jitu, tak kemas dan elok ditinggalkan dalam lipatan sejarah dan juga
bagi karangan surat cinta takpun untuk berkontrak daengan jin.
Comments
Post a Comment