On Freedom

 

‘’Aye, Fight and you may die. Run and you may live. At least for a while..and lying in your bed many years from now , would you be willing to trade all the days, from this day to that, for one chance, just one chance, to come back here and tell our enemies that they may take our lives, but they'll never take... OUR FREEDOM’’

Lebih kurang macam itu lah ucapan William Wallace (dilakonkan oleh Mel Gibson) memberi semangat kepada Highlanders sebelum beliau dan geng-geng nya dikatakan menyelak belted plaid masing-masing dan menayang punggung dan lain bahagian badan bagi menganjing angkatan Inggeris sewaktu pertempuran di Stirling Bridge (dalam salinan VHS selepas tapisan LPF cuma ada suggestion, bukan perbuatan itu sendiri). Banyak ketidak tepatan sejarah dalam Braveheart. Perihal tayang punggung dan bahagian lain itu paling tidak tepat kerana pemakaian belted plaid itu hanya bermula sekitar kurun ke 15 sebegitu. Tapi bagi budak yang baru berjinak-jinak dengan pemakaian kain pelikat yang kebetulan ada iras sikit dengan belted plaid ataupun kilt ianya adalah satu bentuk acknowledgment yang manhood is not confined to wearing pants dan paling penting;

kain pelikat = freedom.

Macam belted plaid/great kilt, kain pelikat adalah satu pakaian yang versatile bagi lelaki. Berangin pun ya, bila keadaan sejuk ianya boleh memastikan bahagian yang perlu kekal warm and toasty kekal sedemikian. Sebagai satu alat, macam macam boleh dibuat dengan kain pelikat. Selimut, menahan bahang matahari, dibuat jadi bindle atau buntil untuk simpan barang kalau tak ada beg, kain bedung bayi, kain samping kalau malas nak pakai samping songket. Pendek kata macam-macam lah boleh dibuat dengan kain pelikat. Sehelai kain pelikat ada bermacam kegunaan praktikal selagi ada imaginasi. Sebab itu aku kaitkan kain pelikat dengan kebebasan.

Salah satu pencapaian aku yang paling membanggakan setakat awal tahun ini adalah berjaya membuatkan anak-anak aku berminat untuk memakai kain pelikat. Sebenarnya diorang biasa melihat aku berkain pelikat dalam rumah. Bukan benda baharu pun. Entah macam mana tergerak hati nak cadangkan pada yang paling muda untuk cuba pakai. Dia suka. Yang tua pula bila nampak si adik berkain pelikat pun nak join sama. Bila dua-dua berkain pelikat dalam rumah aku senyum bangga. Dalam hati aku; they are boys and soon they will be men. Aku terfikir sebegitu kerana aku hanya betul-betul memahami kebebasan berkain pelikat selepas berkhatan. Kiranya satu rite of passage. Kerana untuk sebab yang nyata bila betul-betul lepas berkhatan itu nak berseluar memang siksa. Perit tau perit. Ada bahagian yang perlu bebas bergerak lepas berkhatan maka kain pelikat itu pakaian yang paling ideal. Mula-mula mencuba. Lama-lama makin biasa berkain pelikat.  

Waktu aku mula memakai kain pelikat juga adalah waktu aku mula membaca novel-novel patriotik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang mana figura-figura pra Kemerdekaan gigih melawan pihak British dan anasir-anasir imperialis lain (Pahlawan Parang Panjang!). Kebanyakkannya hanya bersenjatakan keris, senjata tajam lain atau sumpit (Libau Rentap!) dan keinginan membuak-buak untuk bebas. Macam William Wallace et al.

Aku budak pada masa itu, jadi segala mesej-mesej nasionalistik itu aku telan bulat-bulat. Nampak seperti figura-figura dari lipatan sejarah itu suci bersih tak ada cela. Bila dah besar panjang dan lagi membaca barulah faham yang ada yang menentang British kerana hak mengutip cukai dan lain-lain hak tradisional (institusi perhambaan) diganggu gugat. Manusia kan kata orang putih: nuanced. Bukan semua yang ada purity of purpose sebagaimana bukan semua guru agama yang berserban, ada juga yang memakai cepiau Bintang Tiga (Re: Mat Indera). William Wallace pun ada yang kata bahawa beliau berjuang untuk hak Scotland ada raja sendiri dan untuk menjaga harta dan tanah kepunyaan beliau, bukan untuk hak rakyat jelata Scotland macam dalam Braveheart. Seperti aku cakap tadi, nuanced.

Dari pembacaan/tontonan aku dan makin umur aku meningkat makin aku percaya bahawa tak kira la apa takdir yang dicampak itu, untung nasib seseorang, atau sesebuah kaum atau sekelompok manusia itu adalah bertitiktolak dari pilihan mereka sendiri dan pilihan hanya boleh dibuat oleh mereka yang bebas. Bebas itu perlu. Jadi apabila kebebasan itu dimansuhkan, dirampas, diambilalih oleh mereka yang tak berkenaan maka naluri semulajadi manusia adalah untuk melawan. Dari bumi Palestin yang melawan sejak 75 tahun dahulu sehingga kini, Tibet, Turkistan Timur, Catalunya, Ukraine, Chiapas, First Nations di Amerika Utara dan banyak lagi. Semuanya melawan dengan pelbagai cara demi mendapat kebebasan untuk memilih itu. Untuk kebebasan menentukan nasib sendiri.

Buya Hamka pernah berkata, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.’’ Bekerja in the sense kau makan gaji, kerja dengan orang. Bekerja untuk apa dan hidup untuk apa kalau bukan untuk bebas? Bebas dari hutang. Bebas dari kebuluran. Bebas berbelanja. Bebas kemana-mana, tapi hujung minggu dan waktu cutilah. Hari lain bukan milik kau. Itupun kalau nasib kau baik. Bebas ke hidup sebegitu? Mungkin ada yang boleh terima sedemikian. Ikut kau lah. Hamba di zaman ini berpasung bukan dikaki atau tangan, tapi di hati. Hidup memang hidup tapi jiwanya mati. Hidup ke sebegitu?

Serupa macam berseluar. Ada bermacam fesyen dan material kain yang digunakan tapi hampir semua seluar menurut acuan yang sama, ada sifat universal. Ada dua lubang kaki, ada cawat, ada tali cerut atau lubang untuk tali pinggang, ada zip, ada cangkuk dan penyangkut supaya seluar tak terlucut. Ada security. Tetapi yang pastinya kau memang akan dibatasi dengan saiz pinggang. Kalau berat badan naik, kena beli seluar baru.

Lain pula dengan kain pelikat. Pattern lebih kurang sama sahaja, warna corak dan jenis kain mungkin membezakan tapi melainkan kau gemuk gedempol kain pelikat akan muat dipakai tak kira apa saiz pinggang atau perut kau. Pergerakkan pun memang bebas, yang membataskan kau cuma sopan atau tidak cara duduk/baring kau tu. Tapi bila panas, berangin. Bila sejuk, yang patut suam kekal suam. Cuma kalau tak diikat kemas dan terlucut boleh terserlah segala benda yang patut ditutup. Tak selalu berlaku tapi risiko tetap ada.

Sebagai pengamal undang-undang ini pilihan selalunya ada dua, iaitu di antara hidup yang hambar, selamat tapi dirantai atau untuk hidup bebas, penuh dengan pengembaraan tapi terumbang-ambing. Apa pilihan kau? Tak ada sesiapa yang paksa kau sekarang ini. Tak ada pistol diacu di dahi. Semuanya atas pilihan sendiri.  

Bila cakap tentang kebebasan itu pula perlu diingat bahawa ianya bukan dihidang atas pinggan, bukan percuma. Kebebasan itu sendiri punya harga perlu dibayar. Susah, sengsara, darah dan air mata. Persoalannya sanggup atau tidak kau bayar harga itu demi untuk mempunyai kebebasan? Ianya tidak memberi kepastian yang bil-bil kau boleh dibayar tepat pada masanya. Ianya juga tidak memastikan anak beranak kau hidup kalau tak senang pun tak hidup melarat. Tapi bebas.

Satu benda pasal kebebasan tak ada jaminan yang hidup akan sentiasa senang. Yang memang confirm ada adalah ujian demi ujian.

Hidup senang?

Tuhan tak pernah janjikan hidup yang senang atas dunia ini. Yang dijanjikan adalah ada ganjarannya di sana nanti. Hidup mana pernah senang. Masing-masing ada masalah tak kira miskin mahupun kaya. Yang kaya mempunyai masalah untuk kekal kaya, yang miskin masalah untuk lari dari kemiskinan, untuk terus hidup.

Makin umur meningkat makin mudah untuk kita lari sebalik kekelabuan sesebuah perkara itu. Benda yang dahulunya hitam-putih kini jadi kelabu asap. Ada sahaja alasan diberi. Iyalah, kita manusia, bukan android. Ada lebih dari reason yang digunapakai, ada juga emosi yang perlu diambil kira. Aku fikir itu kenapa darjat kita manusia diangkat kerana reason sentiasa berperang dengan emosi. Aku rasa mungkin itu juga sebab kenapa Iblis enggan tunduk pada manusia, kerana Iblis adalah makhluk yang penuh emosi.

Tak senang jadi manusia, tak senang jadi lelaki. Dalam banyak perkara ego perlu ditundukkan. Banyak benda yang perlu diambilkira. Banyak hati nak dijaga, ada peranan perlu dimain, tanggungjawab untuk dijaga. Berat pilihan yang perlu dibuat. Sangat-sangat berat. Tapi jangan dikata tak ada pilihan.    

Tak kira lah kau percaya apa sekalipun Tuhan/ Alam Semesta/ Prime Mover sentiasa bagi pilihan. Kita sahaja yang kata tak ada pilihan. Kadang-kadang banyak pilihan hinggakan pening untuk memilih. Kadang-kadang hanya ada dua:

Nak berkain pelikat atau nak berseluar macam orang lain?

Sekarang pilih satu.

Comments

Popular Posts