Giving (up) ghosts


Bila waktu kecil dulu pasti ada satu ketika bila kau pergi ke satu tempat yang kau yang mana kau sangat suka hingga tak mahu balik ke rumah. Tak kisah lah Disneyland ke, tempat percutian ke, kampung halaman kau ke. Yang penting kau menangis, meraung, buat perangai, pahut pada tiang atau bibir pintu sebab kau tahu pada ketika itu, di dalam minda kecil kau, kau tahu yang tempat kau berada itu lah tempat yang kau nak duduk buat selamanya.

Kebiasaannya bila umur kau meningkat kau lupa tentang tempat tersebut hinggalah bila mak atau bapak atau ahli keluarga yang lain teringat kembali memori kau buat perangai tak nak balik itu. Selalunya bila selak gambar-gambar lama.

Aku rasa sebenarnya bukan tempat tu yang kau nak sangat pun. Yang kau kejar sebenarnya state of being, perasaan kau bila kau berada di situ. Itu yang kau nak kekalkan. Sebagai contoh, bila balik kampung waktu hari raya kau seronok kerana segala sedara mara ada bersama. Kait rambutan, manggis dan lain-lain buah (kalau sampai musim), Tidur bergelimpangan diruang tamu, main mercun ramai-ramai malam sebelum raya, bangun pagi Raya melantak juadah raya. Tapi bila saudara mara mula balik, rumah kampung mula rasa kosong. Pastu kau pun rasa nak balik rumah.

Sama macam kau pegi bercuti di hotel tepi pantai. Ada pantai, ada pasir. Angin menderu-deru bertiup, pokok kelapa melambai-lambai pada kau. Lagi best kalau ada kolam renang. Nak mandi laut bahaya. Lagipun mana ada budak yang tak suka tempat yang boleh direnang, diranduk, boleh berendam. Bila letih ada katil empuk yang bukan kau yang kena kemas tiap pagi. Ada bath tub, boleh sambung berendam. Memang kalau boleh tak nak balik. Tapi balik juga kau akhirnya. Selalunya sebab makbapak yang suruh.

Mungkin ada penjelasan psikologi yang lagi mantap tapi teori memandai-mandai aku adalah seperti berikut:

 

Trigger> Feeling> Memory


Trigger ini boleh jadi kau ada meeting di hotel (jumpa di café, bukan bilik hotel. Jangan salah faham.) ternampak kolam renang lepas tu entah macam mana kau rasa sepertimana kau rasa masa kau berenang-renang di kolam renang waktu kecik dahulu kemudian kau mengimbau kembali memori yang dulu kau pegi bercuti dengan keluarga ke satu tempat yang ada kolam renang dan betapa seronoknya kau berenang-renang sampai naik kecut jari jemari.

Sama macam kau dengar lagu yang kau selalu dengar waktu belajar di universiti dulu tengah malam waktu basuh kain di dobi 24 jam. Lagu itu trigger kepada perasaan yang sama kau rasa waktu kau dengar lagu itu masa belajar di university dahulu; gembira kerana dapat kenal dunia yang kemudiannya membawa kau kembali kepada memori pada waktu itu dahulu sebelum kau kena ikat.. Eh, silap. Maksud aku, kau teringat pada gadis yang kau nak pikat dahulu waktu kau belajar dahulu.

 

Kalau mid life crisis pulak teori memandai-mandai aku adalah seperti berikut:

 

Memory>Feeling> Action

 

Kau teringat waktu muda-muda dahulu kau kemana sahaja naik motor Honda Ex5 kau, kau rasa perasaan dia bila naik bawak motor tu. Deru angin dari celah visor helmet kau, makan asap bila kau duduk dekat dengan lori, perasaan kebebasan kemana-mana tu. Tapi kau dah tua dan dah berharta jadi takkan kau nak pakai Ex5 pulak, lalu kau pun beli Harley Night Rod sebijik pastu kene bebel tak sudah dengan bini kau. Padan muka. Beli mahal tapi kesudahannya jadi tukun dekat rumah pasal kau tak larat nak bawak.

 

Atau kau teringat pada waktu muda-muda dulu kau romeo di fakulti. Habis semua gadis tewas dengan kau. Kau bercinta macam tukar baju. Kau ingat perasaannya macam mana bila satu demi satu hati kau tawan dan kau kemudiannya kau remukkan. Tapi sekarang kau dah tua, dah beranak isteri tapi kau nak rasa balik perasaan jadi jejaka pilihan gadis lalu kau pun pasang scandal. Bini orang, tunang orang, mak cik cleaner, single, complicated, semua kau sapu sampai satu hari kau balik rumah dan isteri kau tengah asah parang kat meja makan pasal dia dah dapat tau. Menjawab la kau. Sendiri cari penyakit.

Pointnya di sini adalah yang berbeza-beza mungkin kedudukkan memori dan trigger atau perbuatan itu dalam aturan memandai-mandai aku tadi. Satu titik persamaan bagi midlife crisis dan kau yang tak nak balik rumah bila ada dihotel atau di kampung waktu kecil dahulu adalah perasaan itu sendiri. Ianys sentiasa berada ditengah-tengah kerana itu yang kau kejar sebenarnya. Ianya memang boleh dijangka. Kita akan cuba sedaya upaya untuk membina semula apa yang kita ada dahulu supaya kita boleh merasai semula apa yang kita pernah rasa dahulu yang sebenarnya absurd. Kita bukan orang yang sama dan keadaan takkan sama seperti dahulu. Kita cuma mengejar bayang-bayang apa yang kita rasa dahulu. Chasing ghosts.

Macam aku cakap tadi perasaan yang kita kejar tadi boleh jadi perasaan innocence dan positif waktu kau kecil dahulu sebelum kau faham bahawa hidup itu ada naik turun, ada masanya akan kecewa atau kau juga mungkin mengejar kembali perasaan sewaktu kau muda dan bertenaga dahulu bila dunia ini penuh dengan potensi dan kebarangkalian yang baik-baik belaka sebelum kau kena henyak dengan realiti.

Dari satu sisi yang lain juga mungkin mengejar perasaan yang dahulu kita lalui itu satu cubaan untuk melawan takdir, memberi jari tengah kepada realti.

Realiti yang pada satu masa nanti memori kau itu akan luput bila kau meningkat usia, there goes your trigger. Realiti bahawa action itu sendiri juga terbatas bila usia meningkat kerana kau ada benda yang jauh lebih penting untuk diambil kira. Ada anak bini, ada tanggungjawab lagi berat. Mungkin juga sebab kau dah tak larat. 

Akan tetapi perasaan tu, Perasaan itu sentiasa akan ada menghantui kau selama kau hidup dan hanya akan terpadam bila kau mati atau bila kau sendiri padamkan, if you can. The heart always remembers.

Aku tak tahu perkataan yang tepat untuk gambarkan perasaan tersebut dalam Bahasa Melayu tapi yang aku tahu dalam Bahasa Inggerisnya perkataan yang paling tepat adalah longing.  Aku guna perkataan longing kerana aku tak mahu guna perkataan nafsu ataupun desire yang mempunyai konotasi negative kerana bukan semua longing itu benda yang merepek (kecuali nak jadi romeo dikala umur tua ganyut. Itu memang merepek).

Mungkin bila ada masa, ada kudrat dan takdir membenarkan, longing itu akan dapat kau lalui dan penuhi semula.

Kalau tak dapat pun, well, kau dah pernah merasa dulu. Cukuplah. 

Kot. 

 

 

 

Post scriptum: Title post ini adalah juga satu judul lagu dari Ben Harper si pemain slide guitar yang boleh tahan power. Aku tak mahu letak... okay, aku tak tahu macam mana nak letak link kepada Youtube bagi lagu ini. Dahulu aku reti tapi sekarang aku dok cuba tak menjadi pula. Jemput cari sendiri di Spotify atau Youtube.

 

Comments

Popular Posts