Apa Cerita?

Dah lama anak-anak aku tak minta dibacakan cerita sebelum tidur pasal mereka dah makin membesar. Jadi terkejut juga bila satu malam yang paling sulung cakap: Abah, can you tell me a story?

Lalu aku pun bagi condensed version Sinbad the Sailor dari apa yang aku ingat pasal malas nak pegi cari bukunya dekat mana. Tak sampai 10 minit terus senyap semua tertidur. Mungkin aku patut buka channel YouTube membaca hikayat-hikayat lama untuk mereka yang mempunyai masalah untuk tidur. Silap haribulan aku sekali tertidur.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang terpesona dengan cerita. Mak dan Abah memang kuat membaca. Bermacam buku dan majalah ada di rumah. Pelbagai majalah termasuk majalah memasak, jurnal National Geographic, buku-buku paperback abah, ensiklopedia yang Mak dapat dari entah mana. Tak cukup nak buat perpustakaan tapi cukup banyak untuk sebuah keluarga kecil. Ada sekali tu pulak Mak bawak balik satu ikat besar majalah ketenteraan pasal dia tahu aku suka benda sebegitu. Mana dia dapat pun tak tau. Senyum melebar aku. Mereka (Mak & Abah) pun rajin membelikan kami adik beradik buku-buku cerita dari kecil lagi demi mengalakkan kami membaca. Abah pula memang kaki bercerita. Ada sahaja cerita dia dari bagaimana Ammonia disintesis pada zaman dahulu kala, kenapa Ikan Jelawat di panggil Sultanfish dalam Bahasa Inggeris dan cerita-cerita hantu dia. Dengan suasana sedemikian kami adik beradik sedikit sebanyak mempunyai appreciation kepada cerita yang bagus. Jadi tidak menghairankan kenapa kami bertiga kini berada dalam bidang yang masing-masing memerlukan sedikit sebanyak penceritaan dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Cerita pasal cerita dan penceritaan, dulu waktu masa baru masuk sekolah menengah aku jumpa satu salinan VCD filem Amistad di rumah nenek. Kualiti memang hampeh. Siap boleh ada satu part tu kamera tersenget dan ada tangan yang tegakkan kembali. Bunyi bergaung. Memang terang-terang copy dari panggung wayang.

Pada waktu itu jalan cerita pun faham sikit-sikit. Ada sekumpulan orang Afrika yang diculik dari benua Afrika kemudian di bawa berlayar ke Dunia Baru untuk dijadikan hamba. Mereka melepaskan diri dan membunuh sebahagian daripada anak kapal dan mengambil alih kapal. Tau-tau je ada di Amerika, di bawa ke mahkamah. Dituduh membunuh tapi lepas kerana kejadian diluar perairan Amerika Syarikat. Kemudian dibawa pula ke mahkamah sivil hingga ke Mahkamah Agung dimana persoalan yang timbul adalah sama ada mereka orang bebas atau hamba yang mana milikannya dipertikaikan kerana ada tuntutan bertindan. Pemilik kapal Amistad pun tuntut, kapten kapal Revenue yang menawan kembali kapal dalam perairan Amerika Syarikat juga menuntut. Salvage katanya.

Watak peguam yang dimainkan Matthew McConaughey yang nama dia aku tak ingat diupah oleh orang-orang kuat persatuan anti perhambaan bagi mewakili kumpulan orang Afrika tersebut. Cemana dia wakil pun tak tau lah pasal nak bercakap dengan anak guam pun serupa ayam dengan itik. Di mahkamah jenayah lepas. Mahkamah rendah sivil pun lepas. Tapi bila masuk ke Mahkamah Agung dia pun angkat tangan menyerah, kena cari big gun. Di sini masuknya John Quincy Adams yang dimainkan oleh Sir Anthony Hopkins.

Antara benda pertama yang dikatakan oleh John Quincy Adams adalah seperti berikut:

John Quincy Adams: Well, when I was an attorney, a long time ago, young man, I err… I realized, after much trial and error, that in the courtroom, whoever tells the best story wins. In un-lawyerlike fashion, I give you that scrap of wisdom free of charge.

Pada waktu itu aku memang tak ambil tahu pasal amalan undang-undang atau pun bermimpi akan jadi pengamal. Aku dengar dialog di atas dan terus aku duduk tegak dari sebelumnya duduk bersandar malas.

Interesting.

Lepas dialog tersebut, babak ini pula yang buat aku terpana, melopong:

John Quincy Adams: What is their story, by the way?

Theodore Joadson: Sir?

John Quincy Adams: What is their story?

Theodore Joadson: Why, they’re um… they’re from west Africa.

John Quincy Adams: No. What is their story?

Theodore Joadson: [exhales and looks confused]

John Quincy Adams: Mr. Joadson, you’re from where originally?

Theodore Joadson: Why, Georgia, sir.

John Quincy Adams: Georgia.

Theodore Joadson: Yes, sir.

John Quincy Adams: Does that pretty much sum up what you are? A Georgian? Is that your story? No you’re an ex-slave whose devoted his life to the abolition of slavery, and overcoming the obstacles and hardships along the way, I should imagine. That’s your story, isn’t it?

Theodore Joadson: [smiles and nods]

John Quincy Adams: [laughs] You and this young so-called lawyer have proven you know what they are. They’re Africans. Congratulations. What you don’t know, and as far as I can tell haven’t bothered in the least to discover, is who they are. Right?

Perbualan ini membuatkan sesuatu dalam kepala aku click. Something fell into place. Stories do have power. Butiran lain film Amistad ini aku tak ingat tapi dialog ini memang aku ingat. Aku cari dan tengok balik Amistad kerana dialog ini. Tentang pentingnya cerita.

Babak John Quicy Adams berhujah dihadapan panel hakim Mahkamah Agung bagaimana perjuangan yang masih belum selesai American Revolution adalah perang bagi memastikan kesaksamaan semua manusia sepertimana ditulis dalam Declaration of Independence, John C. Calhoun buat ugutan nak berperang semata mengekalkan sistem perhambaan, mungkin betul, boleh jadi juga tak berapa nak tepat. Sama seperti babak salah seorang warga Afrika yang terperangkap di atas La Amistad, Cinque yang melaung berulang kali give us us free dari kandang pesalah. Tapi, itu yang membuatkan penceritaan itu menjadi menarik, kalau pun sama ada benar-benar terjadi atau tak itu sesuatu yang boleh dipersoalkan.

Kalau dalam satu cerita yang hebat boleh dikatakan aku terinspirasi untuk mengambil jurusan undang-undang dan kemudiannya mengamal kerana mendengar menonton di layar hujahan John Quincy Adams itu tapi hidup aku hidup biasa bukan produksi Hollywood. Mana pulak dramatik. Aku belajar undang-undang pasal mak aku suruh. Aku jadi peguam pasal itu apa yang diharapkan, natural progression of things.

Nampak tak? semuanya bergantung kepada macam mana kau menyampaikan cerita. Kena ada sedikit element nasik tambah dan rencah. Those Hollywood embellishments. Tapi kalau kau nak letak adegan tari menari pun tak salah. Ikut target audience.

Ambil satu lagi contoh dari filem. Kali ini filem Tim Burton berjudul Big Fish. Tim Burton ini banyak bikin filem-filem yang fantastical, whimsical dan outlandish seperti Edward Scissorhands, The Nightmare before Christmas, Corpse Bride, Batman yang ada Jack Nicholson memainkan watak Joker, Batman Returns yang ada Michelle Pfeiffer melakonkan watak Catwoman. Itu yang aku ingat.

Big Fish ini berkenaan seorang anak lelaki dan bapaknya yang suka sembang kencang. Telling tall tales. Berkawan dengan gergasi lah, dikejar nenek kebayan lah, selamatkan kembar siam sewaktu Perang Korea lah, kerja di sarkaslah, jumpa pekan pelik ditengah hutan lah hinggakan anak dia naik menyampah dan membesar dengan menjauhkan diri dari bapanya. Bila dah besar pula jadi wartawan mengejar cerita betul dan bukan mengada-adakan cerita macam bapaknya.

Bila bapanya itu jatuh sakit, si anak itu membuat keputusan untuk menyiasat betul ke tidak cerita-cerita bapaknya itu. Sikit demi sedikit dia sedar yang bapaknya sembang tak sekencang yang dia sangka. Bila bapaknya meninggal dunia hampir semua watak-watak dalam cerita bapaknya itu datang ke upacara pengebumian. Ringmaster sarkas, si kembar yang bukan siam, si gergasi.

Boleh jadi filem ini adalah gentle reminder kepada para bapak untuk jangan sembang kencang sangat. Sikit-sikit takpe. Mungkin juga apa yang nak disampaikan adalah kadang-kadang cerita yang kita anggap merepek itu adalah satu kebenaran yang ditokoktambah dan disusun atur semula urutannya.

Cerita pasal urutan. Tak kisah cerita zaman mana atau medium apa pun yang kau baca atau tengok atau main, urutannya akan lebih kurang sama. Ada watak utama dan sesuatu berlaku pada watak utama. Benda yang berlaku itu membuatkan watak utama berbuat sesuatu tak kiralah mencari sesuatu atau seseorang dan sewaktu pencarian itu berlaku akan ada watak sampingan yang masuk cerita. Boleh jadi love interest. Boleh jadi figura mentor. Boleh jadi sidekick, atau watak badut. Watak antagonis juga diperkenalkan untuk menghalang pencarian atau pun dia pun turut sama mencari benda/orang sama yang dicari watak utama. Kemuncak pencarian tersebut akan mengubah karakter dan persepsi watak utama hinggakan dia tidak dapat kembali kepada kehidupan lama kerana beliau bukan orang yang sama pada permulaan cerita. Itu adalah asas kepada sesebuah cerita setakat yang aku ingat dari pembelajaran aku.

Kalau dalam Mahkamah, aku rasa contoh paling mudah untuk menggunapakai teknik penceritaan adalah sewaktu mitigasi bagi mengurangkan hukuman kes jenayah. Mahkamah anggap cerita OKT dah separuh jalan pasal dah ada nombor kes, dah ada pertuduhan bermaksud dah ada (sedikit sebanyak) penyiasatan dan OKT sudah mengaku bersalah. Perkara yang mengubah hidup Watak Utama dah terjadi pun. Hidup dia takkan sama seperti dulu.

Tugas peguam yang membuat mitigasi adalah untuk bercerita tentang OKT sebelum dan sewaktu pengakuan salah direkodkan. Dah kahwin ke, bakal berkahwin ke. Anak berapa, kerja kat mana. Mak Bapak ada lagi ke tidak. Lepas tu kaitkan dengan kesalahan yang dah dibuat. Sudah tentu kena cakap tentang pengakuan salah telah menjimatkan masa dan kos mahkamah. Cerita juga tentang tempoh masa reman. Dari pemerhatian aku, selalunya tempoh reman ini akan dikaitkan dengan masa untuk merenung kembali (aku suka guna terma muhasabah diri) dan menyesali perbuatan yang telah dilakukan. Kalau OKT berbangsa melayu dan Hari Raya bakal menjelang tiba, kaitkan dengan kenapa denda perlu minimum (hukum OKT, bukan hukum anak OKT sampai tak ada baju raya), kalau baru mula bulan Ramadan kaitkan bulan keampunan dengan keampunan dari Mahkamah demi meringankan hukuman. Kalau OKT berbangsa India, dan ada perayaan yang disambut bangsa India dalam tempoh masa terdekat gunakan. Hujahkan kenapa penjara bukan hukuman paling sesuai (OKT anak seorang, jangan hukum Mak Bapak untuk Deepavali, Vaisakhi) dan seterusnya bagi lain-lain kaum. Tengok OKT betul-betul. Kalau tempang tanya kenapa. Kalau gigi semua luruh tanya kenapa dan gunakan sebagai sebab untuk mengurangkan hukuman. Mitigasi adalah peluang untuk jadi tukang cerita yang kreatif menampilkan cerita bagi menarik kepada rasional dan juga emosi Hakim. Hakim atau Majistret hari-hari (kecuali cuti umum) dengar Rayuan mengurangkan hukuman yang sambil lewa maka tak mengejutkan kalau dia pun dah jadi lali. Jadi lain daripada yang lain. Tarik perhatian. Tell a damn good story.

Itu kalau mitigasi. Kalau bicara pula lain cerita. Panjang cerita. Banyak persediaan yang perlu dibuat. Jangan tertipu dengan lagak tenang Harvey Specter et al. Pejabat kemas licin tak ada fail pastu bawak bawa bicara kes tak tengok fail.

Anyway, ada banyak buku yang lagi cekap menerangkan penceritaan sewaktu perbicaraan. Salah satunya, The Malaysian Guide to Advocacy. Ada banyak lagi buku dalam list suggested readings dia. Paling pendek dan kegemaran aku: The Golden Rules of Advocacy, Keith Evans.

Tapi, untuk dipendekkan cerita, anologi yang boleh digunakan adalah sewaktu perbicaraan peguam adalah direktor filem yang menyampaikan cerita melalui saksi-saksi dan bukti-bukti yang dikumpul dan soal balas saksi lawan/pendakwaan dan berlandaskan kepada kaedah-kaedah prosedur dan keterangan. Cuma kau tak boleh sambil artistic license dengan kebenaran (the whole truth and nothing but the truth) dan adegan tari-menari adalah sangat tidak digalakkan.

Bila dah habis perbicaraan dan masuk fasa hujahan bertulis itu yang betul-betul ada peluang untuk peguam bercerita kenapa kes beliau lagi bermerit dari kes lawan. Kebiasaannya apa yang berlaku adalah ianya akan jadi arms race. Semua nak buat hujahan sepanjang mungkin, Ikatan Autoriti setebal mungkin. Kalau boleh nak lagi tebal dari Lloyd’s Introduction to Jurisprudence. Semua kes kau nak letak. Gila. Susah nak bind Ikatan Autoriti yang tebal-tebal ni. Kebas tangan guna mesin binding.

Pengamal veteran dan bekas-bekas hakim ada menceritakan tentang waktu dahulu yang ada cuma Hujahan Lisan dan tak ada Ikatan Autoriti ni. Hanya ada bakul autoriti pasal tak ada mesin fotostat dan printer saiz kecil pun belum ada zaman tu. Sekarang Hujahan Lisan ini banyak dibuat di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Kalau ada peringkat Mahkamah Tinggi pun macam tak banyak. Di Mahkamah Rendah langsung lenyap amalan ini. Patutnya dihidupkan kembali. Jimat kertas dan boleh berpotensi pendekkan masa prosiding dan sekali gus selaras dengan polisi mengejar KPI.

Mengamal undang-undang ini adalah memainkan peranan sebagai tukang cerita bagi anak guam. Bercerita dan bergelumang dengan segala macam jenis cerita. Ada aku ternampak di LinkedIn itu hari ada yang mencadangkan untuk ada penceritaan dalam mendraf kontrak. Katanya cerita tentang pihak-pihak dan apa yang pihak-pihak harapkan dari kontrak tersebut. Aku termenung juga fikir macam mana nak bercerita dalam kontrak tapi aku rasa macam boleh dibuat. Undang-undang ini berkisar tentang menyusun atur hidup manusia dalam masyarakat. Macam mana boleh jadi di anggap dry subject pun aku tak tau. Hidup manusia ni mana pernah dry. Ada duka, ada jenaka. Ada juga tak masuk akal kadang-kadang.  Hidup kita ini adalah cerita. Kalau kau bernasib baik kau jadi mitos.


Comments

Popular Posts